Peningkatan gaji minimum sukarkan pemulihan ekonomi - Utusan Malaysia

Peningkatan gaji minimum sukarkan pemulihan ekonomi

PANDEMIK Covid-19 yang memberi kesan kepada banyak perniagaan menyebabkan majikan sukar memberi gaji yang lebih tinggi kepada pekerja. - GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peningkatan tahap gaji minimum akan mengganggu usaha pemulihan ekonomi dan menggelincirkan program-program yang telah digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, ketika ini, majikan tidak mampu menampung apa-apa kenaikan dalam kos gaji pekerja.

Kata beliau, situasi Covid-19 menyebabkan kejatuhan prestasi yang besar dalam semua sektor ekonomi yang menyebabkan ekonomi Malaysia menguncup lebih lima peratus pada 2020.

“Lebih daripada 32,500 syarikat menutup operasi dengan lebih 107,000 pekerja kehilangan pekerjaan disebabkan sekatan pergerakan yang dilaksanakan kerajaan bagi memutuskan rantaian jangkitan pada 2020 dan 2021.

“Ini menyebabkan kadar pengangguran yang lebih tinggi pada Ogos lalu pada empat peratus. Sebelum Covid-19, Malaysia berada pada tahap guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran di bawah empat peratus,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Syed Hussain, lebih merisaukan apabila kadar pengangguran dalam kalangan umur 15 hingga 24 tahun ketika ini pada 12 peratus.

Jelas beliau, disebabkan pelbagai langkah pengurangan kos yang diambil majikan, gaji median jatuh kepada RM1,988 berbanding RM2,442 pada 2019 sementara gaji purata jatuh kepada RM2,933 pada 2020 berbanding RM3,224 pada 2019, pengurangan sebanyak sembilan peratus.

Beliau turut membangkitkan penyusutan produktiviti buruh sebanyak 16 peratus pada 2020 disebabkan pengurangan jumlah tenaga kerja yang membuatkan nilai ditambah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merosot pada 2020.

“Sepanjang 2020 dan 2021, kerajaan menyediakan RM18 bilion dalam bentuk subsidi upah yang memberi manfaat kepada lebih 300,000 majikan dan 2.4 juta pekerja,” katanya.

Syed Hussain menegaskan, langkah yang lebih baik boleh diambil kerajaan ialah mengawal kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Kata beliau, sebanyak mana pun gaji dinaikkan, ia tidak akan mampu mengatasi masalah kos sara hidup sekiranya tiada tindakan berkesan dapat diambil untuk menyelesaikan isu harga barang.

“Menambah kos perniagaan ketika ini adalah tidak bijak. Lebih baik jika (kerajaan) dapat mencari jalan untuk mengawal kos hidup yang secara langsung akan membantu penerima gaji.

“Aset paling berharga untuk majikan ialah pekerjanya dan tiada majikan mahu melihat pekerjanya berdepan kesukaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya