PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bakal menawarkan persekitaran kerja yang mampan untuk para pegawai dalam usaha meningkatkan kualiti penyampaian dasar kerajaan.
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman berkata, inisiatif terbaharu itu akan dilakukan dalam konteks menambah baik kesejahteraan perkhidmatan awam negara ini.
Justeru ujarnya, Pelan Strategik Perkhidmatan Psikologi Sumber Manusia 2021-2025 yang dilancarkan hari ini diharap mampu menjadikan organisasi lebih sejahtera dan terus produktif.
“Bagi merealisasikan cita-cita murni ini, saya seru penjawat awam meningkatkan keupayaan dinamik, adaptif dan melonjakkan prestasi agar berupaya kembali penuh berfungsi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Psikologi Perkhidmatan Awam Kali Ke-25 Tahun 2021 secara maya yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini sehingga esok.
Ia bersempena dengan sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan sepanjang Oktober ini yang membawa tema khusus ‘Emosi Sejahtera, Keluarga Malaysia Sejahtera #MindaSejahtera’.
Persidangan itu turut disertai Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi JPA, Datuk Pauzan Ahmar dan Presiden Persatuan Kaunseling Malaysia, Datuk Dr. Abd. Halim Mohd. Hussin.
Mengulas lebih lanjut, Mohd. Khairul Adib yang turut melancarkan pelan tersebut berkata, ia bersandarkan kepada empat teras strategik bagi menyokong pengurusan sumber manusia.
“Teras pertama pelan ialah pemantapan tadbir urus dan kawal selia perkhidmatan, manakala kedua ialah penyampaian perkhidmatan yang lebih menyeluruh dan berkesan,” terang beliau.
Usaha ini tambah beliau lagi diikuti dengan teras pemerkasaan kesejahteraan modal insan perkhidmatan awam dan pengukuhan nilai serta pembinaan budaya organisasi cemerlang.
Pada masa sama, beliau yakin bidang fokus teras dirangka ini diharap dapat menyediakan penjawat awam yang berprestasi tinggi, dengan memiliki sahsiah dan bersikap lebih positif.
Langkah ini tegasnya, bakal menjadikan sesebuah organisasi mampu dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat sejajar pemulihan semula pasca pandemik Covid-19.
Apatah lagi kata Mohd. Khairul Adib, penjawat awam perlu menjadi contoh bangkit kembali mendepani hari-hari mendatang dengan penyesuaian norma selain membina ketahanan diri.
“Saya berharap, persidangan ini menjadi wadah dalam mengenal pasti pendekatan baharu dan amalan terbaik yang efektif serta memberi manfaat kepada semua pihak,” jelas beliau.
Perkhidmatan psikologi juga pada hemat beliau, dapat meningkatkan mutu penugasan dan menawarkan ruang untuk lebih berkembang seiring dengan tuntutan dan keperluan semasa.
Beliau turut menyeru penjawat awam aktif dalam penyelesaian masalah, terus belajar dan berlapang dada untuk berubah selain tidak tenggelam punca atau suka mengkritik sahaja.