PETALING JAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membangunkan Pelan Antirasuah SPRM (PARAS) 2021-2025 serta Kod Etika dan Tatakelakuan SPRM sebagai panduan kepada warganya dalam menjalankan tugas.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, PARAS adalah salah satu langkah kawalan dalaman dan usaha agensi tersebut untuk menangani pelakuan jenayah rasuah dan pelanggaran integriti oleh warga kerjanya.
Kata beliau, perkara ini sekali gus dapat memperkukuhkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan SPRM kepada masyarakat.
“Langkah kawalan sedia ada dan kawalan tambahan diharapkan dapat membantu SPRM mencapai visi, misi dan objektif penubuhannya dengan lebih mudah sekali gus menjadi panduan kepada seluruh warga SPRM untuk memperkukuhkan nilai jati diri daripada terjebak dengan jenayah rasuah serta pelanggaran integriti bagi memastikan SPRM dilihat whiter than white.
“Malah, mekanisme semakan dan imbang juga diwujudkan SPRM melalui pembentukan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Aduan (JKA), Panel Penilaian Operasi (PPO) serta Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) yang berfungsi untuk memantau, menasihati serta memastikan fungsi dan tanggungjawab suruhanjaya ini dilaksanakan dengan cekap, berkesan, bebas dan telus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ulang Sambutan Badan Pencegahan Rasuah (BPR) atau SPRM yang Ke-54 di sini hari ini.
Tema sambutan kali ini ialah “Semarakkan Integriti, Rasuah Diperangi” bermaksud dalam usaha memerangi rasuah, semangat membudayakan integriti perlu dilaksanakan terlebih dahulu.
Dalam perkembangan berasingan, Azam memberitahu, sebanyak 461 pegawai dan kakitangan SPRM telah menerima Pingat Khidmat Setia SPRM (PKS) kerana telah setia berkhidmat selama 15, 20, 25 dan 30 Tahun dalam perkhidmatan mereka.
Kata beliau, pengiktirafan ini diharap dapat memberi motivasi kepada warga SPRM, selain mengukuhkan jati diri, membentuk kesetiaan tidak berbelah bagi dan memupuk rasa cinta kepada organisasi dalam kalangan warga.
“Sempena sambutan ulang tahun BPR/SPRM Ke-54 ini, penganugerahan PKS hanyalah diberikan kepada kategori perkhidmatan 30 tahun melibatkan seramai 28 orang penerima di peringkat ibu pejabat sahaja.
“Ini kerana, penganjuran majlis kali ini terikat dengan syarat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan khususnya dalam aspek jumlah maksimum penyertaan yang perlu peka kepada keperluan penjarakan sosial dengan saiz ruang majlis yang bersesuaian,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE