JOHOR BAHRU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor belum menerima laporan penuh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) mengenai Johor didakwa menjadi salah satu negeri yang dikenal pasti dijadikan tong sampah sisa toksik secara haram.
Pengarah JAS Johor, Dr. Mohd. Famey Yusoff berkata, siasatan terperinci dan menyeluruh hanya akan boleh dijalankan selepas pihaknya meneliti laporan tersebut.
Menurut beliau, menerusi laporan penuh itu membolehkan siasatan susulan dilakukan termasuk mengenal pasti lokasi sebenar yang dimaksudkan di dalam laporan berkenaan.
“Setakat ini, JAS Johor belum menerima apa-apa laporan daripada MYSA mengenai keberadaan lokasi tapak pembuangan sisa toksik secara haram itu.
“Saya juga telah merujuk ibu pejabat dan mereka juga memaklumkan sedang menunggu maklumat sama daripada agensi itu.
“Sekiranya laporan sudah diperoleh, JAS Johor akan terus memulakan siasatan secara terperinci di kawasan yang didakwa,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau Op Bersepadu Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Skudai arah Selatan di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan berita MYSA hari ini berhubung empat negeri iaitu Selangor, Johor, Pahang dan Perak yang dikenal pasti mempunyai banyak kawasan dijadikan tempat buangan sisa toksik haram.
Ia berdasarkan cerapan imej menggunakan satelit secara berkala yang dijalankan MYSA di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) susulan tragedi Sungai Kim Kim, di Pasir Gudang yang tercemar pada 2019.
Ketua Pengarah MYSA, Azlikamil Napiah dilaporkan berkata, sebahagian data cerapan berhubung pelupusan sisa toksik itu dibentangkan kepada pihak berkuasa negeri terbabit untuk penelitian dan tindakan seterusnya.
Sementara itu, ditanya sama ada JAS Johor turut menggunakan cerapan imej satelit untuk mengenal pasti kawasan pembuangan sisa toksik haram di negeri ini, Mohd. Famey menjelaskan, pihaknya tidak mempunyai akses terhadap teknologi satelit tersebut.
“Namun, kita membuat pemantauan menggunakan dron bagi melakukan risikan terhadap kawasan pencemaran termasuk tapak pembuangan sisa toksik haram,” katanya.- UTUSAN