Memesrai haiwan di tengah kota - Utusan Malaysia

Memesrai haiwan di tengah kota

SUZILA Hashim (tiga dari kanan) bersama tulang belakang G2G Animal Garden yang beroperasi di Maeps, Serdang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IMPIAN memiliki taman haiwan dikelilingi tumbuh-tumbuhan menghijau, bunga-bungaan, kebun buah-buahan dan pokok herba seperti dalam cerita dongeng, bagaikan mimpi indah kerana ia akhirnya menjadi kenyataan.

Pengarah G2G Animal Garden, Suzila Hashim berkata, taman haiwan berkenaan menampilkan konsepkan mesra pengunjung. Ini kerana mereka dapat menyentuh, membelai dan memberi makan haiwan-haiwan ini berbanding di zoo yang hanya boleh melihat dari jauh.

“Saya mahu pengunjung berasa tenang dan dekat dengan haiwan-haiwan. Bagi saya, garden atau taman yang lengkap sekelilingnya akan memberi ketenangan dan keterujaan kepada pengunjung. Jadi, mereka akan selesa untuk mengunjunginya selalu terutama keluarga yang mempunyai anak-anak kecil.

“Di sini juga pengunjung dapat bonding dengan haiwan. Mereka boleh memegang, memeluk dan memberi makan kepada haiwan. Lebih menarik, setiap haiwan di G2G Animal Garden ini diberi nama oleh staf yang menjaganya dan ia mudah bagi pengunjung mengingati apabila datang kembali,” katanya.

Suzila bersama burung kakak tua yang terdapat di taman haiwannya di Maeps, Serdang.

G2G Animal Garden terletak dalam keluasan 0.81 hektar di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps). Ia menempatkan lebih 250 haiwan daripada 90 spesies antaranya kambing jenis kerdil Pygmy Goat, kuda padi, aneka burung, kucing dan arban.

Rakun, haiwan eksotik dan reptilia serta haiwan yang jarang dipelihara seperti Fennec Fox atau musang gurun dan monyet terkecil di dunia, Marmoset bertelinga putih turut ada.

Suzila adalah bekas guru matematik yang berkhidmat selama 14 tahun di Sekolah Kebangsaan Jalan 3, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Dia mengambil keputusan bersara awal pada usia 43 tahun bagi menumpu sepenuhnya terhadap taman haiwan miliknya itu.

PERKENAL PETTING ZOO DI SEKOLAH

Minat Suzila terhadap haiwan bermula sejak kecil di mana dia turut memelihara pelbagai jenis haiwan. Namun minat itu semakin subur bila berkhidmat sebagai guru pada 2007.

“Ketika di sekolah, saya mempunyai rakan guru yang turut berkongsi minat yang sama terhadap haiwan dan kami bersama-sama membina tempat atau rumah burung. Malah saya turut membina zoo mini.

“Saya juga mula membuat bisnes haiwan dengan melakukan teknik pembiakan baka dan menjual haiwan peliharaan pada 2008 dan 2009,” katanya mengimbau kenangan.

Kuda padi menjadi tarikan kanak-kanak untuk menunggangnya.

Setahun kemudian, Suzila mendapat idea menubuhkan taman haiwan bergerak atau petting zoo selepas menyertai grup pencinta haiwan di Facebook yang menjayakan konsep berkenaan.

“Awalnya, saya dapati ramai murid tidak mengenali haiwan.

“Ada juga antara mereka, ibu bapa yang tidak berkesempatan membawa ke zoo kerana kos mahal. Jadi, sebagai guru ketika itu, saya fikir untuk membawa masuk petting zoo bergerak ke sekolah.

“Secara tidak langsung murid dapat melihat haiwan secara dekat,” katanya.

MENANG ANUGERAH

Bercerita permulaan taman haiwan yang diusahakan, Suzila berkata pada awalnya dia memperkenalkan petting zoo secara umum sewaktu menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) yang diadakan di Maeps pada 2014 dan 2016.

“Kemudian, pada 2017 kami menerima tawaran sewa tapak di Maeps untuk membuka taman haiwan. Jadi, pada September 2017, kami mula membuat pembinaan bangunan dan mencari staf.

Kemuncaknya, tertubuhlah G2G Animal Garden yang dibuka secara rasmi pada 6 Disember 2017,” katanya.

G2G Animal Garden turut memenangi Anugerah Emas Agro Tourism Petting Zoo oleh Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) pada 2018.

Disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik turut menjejaskan operasi perniagaan itu.

Memburukkan keadaan apabila taman haiwan miliknya kerugian beribu ringgit apabila sebuah bangunan di G2G Animal Garden terbakar akibat litar pintas, Februari lalu.

“Lebih 30 ekor haiwan mati terbakar dan kami rugi kira-kira RM60,000,” katanya.

ODDY SI RUSA MANJA

Suzila mempunyai haiwan yang rapat dan manja dengannya seperti anak rusa yang diberi nama Oddy.

Anak rusa kesayangan Suzila, Oddy yang manja kerana pernah dibela di dalam rumahnya.

“Ceritanya, Oddy ini tidak diterima oleh koloni (sekumpulan haiwan daripada jenis yang sama hidup bersama). Jadi, saya membawa dia pulang ke rumah. Oddy akan ikut saya ke mana-mana malah tidur pun atas katil dipasang pendingin hawa.

“Saya juga memakaikannya lampin. Apabila Oddy membesar saya bawa semula ke taman haiwan namun ia kurang selesa kerana sudah terbiasa tempat sejuk. Lama-kelamaan Oddy dapat menerima dan kembali ke tempat asalnya dan kini bunting,” katanya.

Selain Oddy, Suzila turut memelihara anak rakun yang kini dijaga oleh dua anaknya, Nurul Syifa Kamarulzaman, 17, dan Muhammad Fawwaz Nabil Kamarulzaman, 13, di kediaman mereka di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, Selangor.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya