MELAKA: Sebanyak 495,196 pengundi di negeri ini akan memilih kerajaan baharu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak 482,550 terdiri daripada pengundi biasa, 10,191 anggota tentera dan pasangan, 2,349 anggota polis serta 106 di luar negara.
Sebanyak 28 pusat penamaan calon (PPC) dan 28 pusat penjumlahan rasmi undi (PPRU) akan digunakan manakala 217 pusat mengundi biasa pula mengandungi 1,109 tempat mengundi (saluran) dan 31 pusat mengundi awal menggunakan 47 tempat mengundi.
Susulan itu juga, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut menetapkan tarikh penamaan calon 8 November manakala hari mengundi awal pada 16 November ini.
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, tempoh kempen ditetapkan adalah selama 12 hari bermula selepas penamaan calon sehingga pukul 11.59 malam pada 19 November.
“SPR akan memperkenalkan cadangan masa pengundian bagi mengelakkan kesesakan di pusat-pusat mengundi. Masa pengundian akan dipaparkan menerusi sistem aplikasi SPR sama seperti MySejahtera.
“Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan adalah Daftar Pemilih Tambahan yang dikemas kini sehingga 3 Oktober lalu,” katanya dalam sidang di sini, semalam.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu ekoran tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kerajaan memerintah.
Mereka adalah ADUN Sungai Udang yang juga merangkap Exco kerajaan negeri, Datuk Seri Idris Haron, Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).
Ekoran kontroversi itu, Yang Dipertua DUN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh bertindak membubarkan dewan sebagaimana termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 19 Perlembagaan negeri.
Berdasarkan komposisi pecahan 28 kerusi dalam DUN Melaka, UMNO memiliki 12 kerusi, Bersatu (1), DAP (7), Parti Amanah Negeri (2), PKR (2) manakala Bebas (4).
Sementara itu, Abdul Ghani berkata, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan adalah Daftar Pemilih Tambahan yang dikemas kini sehingga 3 Oktober lalu.
“DPPR mengandungi 495,196 pengundi terdiri daripada 482,550 pengundi biasa, 10,191 anggota tentera dan pasangan, 2,349 anggota polis serta 106 pengundi tidak hadir luar negara.
“Bagi urusan permohonan pengundi pos di luar dan dalam negara bermula 20 Oktober ini. Bagi pengundi luar negara dan sembilan agensi sektor keselamatan, tarikh tutup mengundi pada 1 November.
“Bagi petugas media, pilihan raya, pegawai SPR, polis dan anggota tentera pula tarikh tutup mengundi pada 3 November,” ujarnya.
Abdul Ghani menambah, permohonan pengundi pos akan dilaksanakan secara dalam talian dan bukannya seperti sebelum ini.
Tegasnya, setiap pemohon perlu mendaftarkan akaun ‘MySPR Daftar’ terlebih dahulu, sebelum boleh memohon sebagai pengundi pos.
“Permohonan untuk mengundi pos boleh dilakukan melalui MySPR Daftar di pautan https://mysprdaftar.spr.gov.my,” jelasnya.
“Bagi kelayakan pengundi pos kategori luar negara yang dilaksanakan sebelum ini telah dimansuhkan antaranya ialah bermastautin di luar negara kecuali wilayah Selatan Thailand (Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun), Singapura, Brunei dan Kalimantan, Indonesia,” ujarnya.
Abdul Ghani menambah, sebanyak 28 pusat penamaan calon (PPC) dan 28 pusat penjumlahan rasmi undi (PPRU) akan digunakan, manakala 217 pusat mengundi biasa pula mengandungi 1,109 tempat mengundi (saluran) dan 31 pusat mengundi awal menggunakan 47 tempat mengundi.
“Semua 217 pusat mengundi biasa akan dibuka dari 8 pagi hingga 5.30 petang, manakala pusat mengundi awal pula dibuka dari 8 pagi hingga 2 petang. Baki pusat mengundi awal akan dibuka dari 8 pagi hingga 5.30 petang.
“Seramai 12,290 petugas akan dilantik untuk mengendalikan proses PRN manakala 28 penguatkuasa kempen pilihan raya terdiri daripada polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon akan memantau semua aktiviti sepanjang tempoh kempen pilihan raya ditetapkan,” jelasnya. – UTUSAN










