Kejayaan merangkul tiga pingat emas pada pertandingan The 6th International Invention, Innovation Competition (iCAN) 2021 di Toronto, Kanada, membangkitkan keterujaan ramai untuk mengetahui resipi kepintaran Maryam Muzamir, 11.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, ayah Maryam, Prof. Madya Dr. Muzamir Hasan berkata, kepintaran anak sulung daripada dua-beradik itu dikesan sejak usianya masih kecil.
“Saya dan isteri, Noor Nazihah Ma’amor, melihat Maryam mampu mencipta rekaan luar biasa daripada permainan Lego seawal usia empat tahun.
“Dia mampu menghasilkan rekaan lego bukan hanya mengikut contoh diberikan, sebaliknya mengikut kreativiti sendiri,” katanya.
Biarpun Maryam pendiam, beliau dan isteri nampak kepintaran anaknya berkembang di sekolah melalui subjek Sains.
“Kemampuannya mendapat perhatian dan sokongan daripada guru dan pihak sekolah. Malah Maryam berupaya mencipta kejayaan sejak di tahun empat di mana dia sudah memenangi tiga emas dalam pertandingan inovasi dan rekacipta peringkat kebangsaan,” katanya.
Maryam mengharumkan nama negara dengan ciptaan inovasi makanan haiwan daripada kulit udang dan cangkerang siput sedut dinamakan Yam 2.0.
Kemenangan itu, mengetepikan 600 peserta lain dari 70 negara sekali gus menjadikannya sebagai pemenang termuda pertandingan.
Muzamir yang merupakan pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkata, Maryam memiliki kebolehan untuk mereka cipta sesuatu melalui pengamatan dan kelebihan di sekelilingnya.

BERBALOI
Muzamir berkata, idea inovasi menghasilkan makanan haiwan daripada kulit udang dan siput sedut itu timbul ketika mereka sekeluarga mengunjungi sebuah restoran makanan laut di Kuantan.
“Bermula dari situ Maryam merancang inovasi dengan mencipta ramuan sendiri sehingga usahanya membuahkan hasil,” katanya.
Pencapaian murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Methodist, Kuantan, Pahang itu akan dipatenkan melalui agensi di bawah Kementerian, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Selain menerima ucapan tahniah daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, nama Maryam turut disebut oleh pengacara televisyen James Corden dalam rancangan The Late Late Show with James Corden.
Muzamir berkata, sebagai ayah, dia sekeluarga akan terus memberi dorongan dan semangat untuk Maryam mencipta kejayaan dan mengejar cita-cita menjadi profesor dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Sementara itu, Maryam berkata, dia terkejut namun gembira kerana ia menaikkan semangatnya untuk terus berinovasi.
“Saya berterima kasih kepada keluarga yang memberikan sokongan,” katanya.
MENARIK MENGENAI MARYAM
*Yam 2.0. adalah inovasi makanan haiwan daripada kulit udang dan cangkerang siput sedut.
*Idea inovasi tercetus semasa Maryam melihat sisa makanan laut terbuang di restoran.

*Maryam membaca artikel menyatakan cangkerang makanan laut mengandungi bahan chitin yang ada kebaikan dalam makanan ternakan. Ia menjadi titik tolak Maryam merancang inovasinya.
*Sebanyak 30 kilogram bahan kulit udang dan cangkerang siput sedut diperolehi Maryam dari restoran di Kuantan. Bahan itu kemudian dicuci dan dikeringkan di bawah cahaya matahari.
*Setelah kering, ia dikisar dalam bentuk dan saiz yang sesuai untuk dimakan haiwan ternakan. Produk tersebut memerlukan pemprosesan selama satu minggu. Sampel percuma diberikan kepada ladang ternakan lembu.
*Kos penghasilan YAM 2.0 rendah berbanding produk makanan haiwan ternakan konvensional. Ia boleh menjadi bahan makanan haiwan ternakan seperti ayam, kambing, ikan termasuk khinzir.










