Maqis Pulau Pinang sita gandum dari Australia bernilai lebih RM20j  - Utusan Malaysia

Maqis Pulau Pinang sita gandum dari Australia bernilai lebih RM20j 

PRODUK gandum dari Australia yang disita Maqis di Pelabuhan Dermaga Air Dalam (DAD), Buttterworth, Pulau Pinang kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang menggagalkan cubaan membawa masuk kira-kira 14,118.3 tan gandum dari Australia secara tidak sah ke negara ini. 

Produk gandum ‘Australian Standard White’ dan ‘Australian Premium White’ bernilai hampir RM20.5 juta itu dirampas ketika pemeriksaan agensi itu di Pelabuhan Dermaga Air Dalam (DAD), di sini, kelmarin. 

Maqis Pulau Pinang dalam kenyataan di sini hari ini memaklumkan, produk pertanian yang dibawa menerusi sebuah kargo itu ditahan kerana mengemukakan maklumat yang berbeza serta mengelirukan pada permit import Maqis yang sah. 

“Sehubungan itu, barang dagangan tersebut telah ditahan oleh pihak Maqis untuk tindakan selanjutnya,” demikian menurut kenyataan itu. 

Menurutnya, mana-mana orang yang memberikan maklumat palsu, tidak tepat atau mengelirukan dalam pengimportan keluaran pertanian adalah menjadi suatu kesalahan dan akan disiasat mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Jika disabitkan kesalahan, katanya, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. 

Tegasnya, Maqis mengambil langkah serius dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara. 

“Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN