Lanjutkan moratorium peminjam AIM - Utusan Malaysia

Lanjutkan moratorium peminjam AIM

DR. HAFIDZAH MUSTAKIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan digesa melanjutkan tempoh moratorium bagi peminjam Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) kerana rata-rata mereka merupakan golongan B40 yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Ketua Angkatan Wanita Amanah negeri, Dr. Hafidzah Mustakim berkata, gesaan itu merupakan antara usul utama diluluskan dalam Konvensyen Awan Kelantan 2021 yang berlangsung menerusi aplikasi Zoom, semalam.

Kata beliau, usul Ekonomi Membela Nasib Ibu Tunggal dan Wanita B40 itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 56,000 peminjam AIM di Kelantan dan lebih 300,000 peminjam AIM di seluruh negara. 

“Moratorium AIM ini perlu dilanjutkan sehinggalah pandemik Covid-19 tamat supaya para peminjam mempunyai ruang secukupnya untuk membangunkan semula ekonomi mereka yang terjejas.

“Lanjutan ini juga sejajar dengan memorandum persefahaman  (MoU) antara Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan Persekutuan yang berteraskan kebajikan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Terdahulu, perasmian Konvensyen Awan Kelantan 2021 disempurnakan oleh Ketua Awan Nasional, Aiman Athirah Al Jundi dan turut dihadiri Pengerusi Amanah Kelantan, Muhammad Hussin.

Untuk rekod, AIM sebelum ini pernah melaksanakan penangguhan bayaran balik selama 16 minggu secara automatik kepada semua sahabat AIM ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dilaksanakan.

AIM sekali lagi menangguhkan tempoh bayaran balik membabitkan 378,507 peminjamnya di seluruh negara sehingga 31 Julai lalu. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN