PETALING JAYA: Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun disaran tampil memberi kenyataan awam lengkap berhubung kes kematian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Muhammad Adib Mohd. Kassim.
Pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, reaksi Idris hanyalah meminta orang ramai menunggu dan sabar seperti yang dilaporkan media ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini kematian Muhammad Adib, tujuh bulan lepas.
Katanya, sehingga kini, belum nampak sebarang pengakhiran dengan pelbagai pihak kembali membangkitkan kes tersebut sejak beberapa hari lalu.
“Kegagalan Peguam Negara mengeluarkan kenyataan rasmi setakat ini menambahkan kekeliruan, ketidakfahaman dan ketidakbolehan penerimaan kenyataan menteri oleh segolongan besar rakyat dan keluarga Allahyarham Adib sendiri.
“Saya dengan tegas sarankan kepada Idris untuk laksanakan janji beliau yang diberi kepada rakyat pada 15 Februari lepas, lebih tujuh bulan lalu dengan serta merta.
“Ini supaya keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada sistem kedaulatan undang-undang dapat dikembalikan ke tahap yang wajar, tanpa kecelaruan serta kekeliruan bahawa pihak Eksekutif yang tiada kelayakan dalam isu kedaulatan undang-undang kelihatan mengatasi tanggungjawab pihak berkaitan, iaitu tanggungjawab dan tugas Peguam Negara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Baru-baru ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin yang juga bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dilaporkan berkata, kes kematian Muhammad Adib ditutup sementara dan dibuka semula jika terdapat bukti baharu.
Katanya, kerajaan kini memberi fokus terhadap keperluan keluarga Allahyarham Muhammad Adib.
Menurut Mohamed Haniff, Zuraida juga tidak berhak mengeluarkan apa-apa kenyataan sehingga pihak yang berkenaan iaitu Peguam Negara mengeluarkan satu kenyataan rasmi.
“Tanpa mana-mana kenyataan rasmi lanjut oleh Peguam Negara ada pula pihak yang tidak berkenaan mengeluarkan kenyataan yang memberi fahaman seolah-olah kes tersebut sudah diselesaikan dan ditamatkan seperti yang dinyatakan oleh Zuraida,” katanya.
Muhammad Adib meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah dalam satu insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 2018. – UTUSAN ONLINE











