Kerajaan Selangor sasar 100 tapak jualan SAM - Utusan Malaysia

Kerajaan Selangor sasar 100 tapak jualan SAM

IZHAM Hashim (dua kanan) mengadakan lawatan ke gerai-gerai SAM di Cyberjaya. - UTUSAN/SUBKHI SUDARJI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kerajaan Selangor menyasarkan kewujudan 100 tapak jualan Selangor Agro Market (SAM) bagi memberi manfaat kepada penduduk setempat mendapatkan barangan asas segar sekali gus meningkatkan pendapatan usahawan setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pertanian & Perladangan dan industri Asas Tani, Izham Hashim berkata, sehingga kini sebanyak 31 tapak jualan SAM diwujudkan.

Menurut beliau, kewujudan SAM penting bagi mengisi tambahan keperluan kedai-kedai biasa dengan pasar tani untuk memberi manfaat kepada pembeli dan juga usahawan.

“Pelaksanaan SAM terhenti sebelum ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Untuk tahun ini sahaja sebelum pelaksanaan PKP kita berjaya mewujudkan 31 SAM di seluruh Selangor dengan nilai jualan sebanyak RM350,000 membabitkan 465 usahawan.

“Jadi bagi tahun depan, kami menyasarkan tambahan 100 tapak SAM atau lebih banyak lagi  daripada sasaran itu berdasarkan pencapaian tahun-tahun sebelum PKP,” katanya ketika ditemui di tapak SAM di Taman Tasik Cyberjaya, hari ini.

Izham berkata, kewujudan tapak SAM bergantung kepada maklum balas jabatan mahupun agensi dan wakil rakyat kawasan terbabit.

Bagaimanapun, pihaknya akan mengenal pasti lokasi bersesuaian kerana fungsinya adalah berbeza dengan pasar tani yang mana tidak memerlukan ruang besar.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN