PETALING JAYA: Beberapa kerajaan negeri bimbang jangkitan kes Covid-19 kembali meningkat sekiranya kebenaran merentas negeri dibenarkan dalam tempoh terdekat.
Ia susulan peningkatan mendadak 200 kes di Perlis akibat aktiviti rentas negeri dalam kalangan penduduk di Kedah melalui jalan-jalan tikus antara kedua-dua negeri tersebut.
Peningkatan kes itu merupakan yang tertinggi pernah dicatat Perlis sejak tercetus pandemik Covid-19 lebih setahun lalu walaupun kadar vaksinasi populasi dewasa di negeri itu sudah mencapai 93.2 peratus.
Di Kelantan, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob turut bimbang penularan Covid-19 dan menasihati perantau yang belum melengkapkan dua dos vaksin agar tidak pulang ke negeri itu untuk bertemu keluarga walaupun kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri selepas ini.
Beliau menegaskan, langkah itu penting bagi mengelak penularan Covid-19 dalam kalangan keluarga terutamanya mereka yang mempunyai penyakit kronik.
“Saya mohon agar jangan pulang ke kampung sekiranya mempunyai gejala jangkitan. Semua pihak perlu bertenang apabila keputusan rentas negeri dibenarkan selepas ini,” katanya selepas merasmikan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Kelantan semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad berkata, buat masa ini kadar vaksinasi di Kelantan mencapai 79 peratus.
“Ini kerana ada anak Kelantan yang merantau dan kemungkinan besar mereka sudah menerima dua dos vaksin di luar Kelantan. Keadaan ini menyebabkan vaksinasi di Kelantan tidak secepat negeri lain,” katanya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan akan membenarkan aktiviti rentas negeri selepas kadar vaksinasi populasi dewasa mencapai 90 peratus. Pada masa ini kadar pemberian vaksin bagi golongan berkenaan telah mencapai 89.4 peratus.
Di Perlis, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, aktiviti rentas negeri secara haram melibatkan penduduk sempadan negeri ini dan Kedah menyebabkan peningkatan kes Covid-19 di negeri itu.
Katanya, tindakan segelintir individu dari lokasi yang mempunyai banyak kes mencuri masuk ke negeri ini secara tidak langsung menyebarkan virus berkenaan dalam kalangan masyarakat setempat.
“Sebenarnya kita tidak ada isu daripada segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP), tetapi masalah kehadiran individu luar yang mencuri masuk ke negeri ini seperti dilaporkan Ketua Pengarah Kesihatan secara tidak langsung menyebarkan virus.
“Kalau diketatkan SOP atau penguatkuasaan sekalipun, namun ada orang curi masuk sama juga. Pematuhan sebenarnya sudah cukup baik dalam kalangan rakyat di negeri ini,” katanya selepas merasmikan Hari Sukan Negara 2021 peringkat Perlis di sini, semalam.
Di Kedah, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor mengingatkan penduduk negeri itu supaya menghentikan aktiviti rentas negeri secara haram ke Perlis bagi mengekang jangkitan Covid-19 terus meningkat.
Katanya, penduduk Kedah yang tinggal di sempadan Perlis seperti di Sanglang perlu mematuhi arahan kerajaan tidak merentas negeri.
“Saya harap kalau benar, orang Kedah yang merentas negeri pergi ke Perlis agar mereka tak pergi lagilah,” katanya selepas merasmikan Hari Sukan Negara 2021 peringkat Kedah di Dataran Pantai Chenang, Pulau Langkawi, semalam.
Beliau pada masa yang sama turut meminta penduduk Perlis tidak menggunakan laluan tikus untuk masuk ke Kedah.
Di Johor, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri akan menyediakan kemudahan pematuhan SOP seperti pelitup muka dan cecair pembasmi kuman di tempat-tempat awam termasuk hentian Rehat dan Rawat (R&R) di negeri ini menjelang kebenaran rentas negeri.
“Pada masa sama semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan dibuka untuk kaedah ‘walk-in’ bagi mana-mana individu yang belum mendapatkan vaksin,” katanya di sini, semalam.
Dalam pada itu, menurut Hasni, pembukaan sempadan Malaysia-Singapura memerlukan sedikit masa lagi ekoran peningkatan kes Covid-19 di republik berkenaan. – UTUSAN










