fbpx

7 Disember 2021, 7:58 am

  TERKINI

Kembar Ahmad, Muhammad ‘berpisah’ demi masa depan

AHMAD (kanan) dan Muhammad Rosli ketika belajar di MSU di Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Walaupun dikatakan sukar berenggang, pasangan kembar Ahmad dan Muhammad Rosli, 23, menyedari mereka terpaksa membawa haluan sendiri demi mencorak masa depan masing-masing.

Ahmad masih menuntut dalam jurusan seni reka grafik di Management & Science University (MSU) manakala Muhammad bekerja sebagai ketua projek teknologi maklumat dengan sebuah syarikat di Banting, dekat sini selepas memperoleh ijazah sarjana muda dalam bidang sains komputer di tempat sama.

Mereka adalah pasangan kembar yang pernah mencuri perhatian rakyat Malaysia pada 2001, kerana kedua-duanya dahulu dilahirkan bercantum di bahagian dada sehingga pangkal paha.

Kini hampir 20 tahun berlalu sejak pembedahan bersejarah selama 22 jam 45 minit di Hospital King Fahd National Guard di Riyadh, Arab Saudi pada 2002 ditaja oleh Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud yang menjadi pemerintah negara itu pada 2005 hingga 2015.

Mereka menjadi perhatian Kerajaan Arab Saudi sehingga Raja Abdullah mangkat pada 23 Januari 2015. Namun kali terakhir berhubung dengan baginda adalah pada 2007 apabila diundang ke sana untuk dihadiahkan kaki palsu bagi memudahkan pergi ke sekolah.

Sejak itu, pasangan kembar berusia 23 tahun itu sering menjadi perhatian apabila memasuki zaman persekolahan pada 2005 sehinggalah melanjutkan pengajian ke Management & Science University (MSU) pada 2016.

Kini, Ahmad sebagai abang sulung masih meneruskan pengajiannya di peringkat Diploma dalam bidang seni reka grafik dan adiknya Muhammad pula sudah pun bekerja sejak awal tahun lalu selepas menamatkan pengajian sarjana muda dalam bidang sains komputer.

Ahmad lewat menamatkan pengajian kerana masalah kesihatan iaitu kekurangan sel darah merah menyebabkan terpaksa mengambil cuti semester untuk menerima rawatan.

Melihat kepada bidang pengajian pun sudah menunjukkan kedua-dua kembar itu mempunyai minat yang berbeza.

Ahmad mengakui dia gemarkan bidang kreatif dan seni halus sementara Muhammad pula lebih menyukai teknologi seperti gajet dan komputer.

“Sebenarnya ramai orang tak sangka dan selalu tanya kenapa kami tak satu kelas masa belajar di MSU. Kami mempunyai minat yang berbeza, bukan itu sahaja malah kalau tengok perwatakan pun Ahmad lebih pendiam berbanding saya,” kata Muhammad ketika ditemui Mingguan Malaysia.

Menurut Ahmad pula, perbezaan perwatakan mereka pun sudah ketara sejak sebelum pembedahan pemisahan lagi yang ketika masih ‘bercantum’ dia dengan Muhammad selalu bergaduh kerana tidak sependapat.

“Masa itu kecil lagi, tetapi salah seorang dari kami kena mengalah akhirnya walaupun sebelum itu bergaduh, saya nak ke sini, Muhammad pula hendak ke sana. Bila bergaduh sampai naik tangan. Iyalah, masa itu dekat, depan mata senang kena,” seloroh Ahmad.

Perbezaan itu kemudian ketara apabila mereka berdua menyambung pengajian di menara gading, selain mengikuti bidang pengajian berbeza, Ahmad dan Muhammad juga sering membuat haluan sendiri di kampus.

“Kami ke kampus sama-sama walaupun kelas berbeza, sebab ayah akan hantar pada waktu pagi walaupun antara kami tiada kuliah waktu itu. Tetapi bila di sana, kami jadi macam orang lain, sampai kawan-kawan pun pelik.

“Kata kawan-kawan lazimnya pasangan kembar yang serupa sentiasa bersama, tetapi kami pula berlawanan. Bidang, kelas, pakaian dan perwatakan pun tak sama,” ujar Muhammad.

Menyentuh soal minat, kedua-dua mereka yang tinggal di Puchong, Selangor itu juga mempunyai hobi yang berbeza, namun perbezaan itu sebenarnya saling melengkapi antara satu sama lain.

“Ahmad gemar kasut jenama Nike. Saya pula suka tengok gajet dan kereta berteknologi tinggi. Soal makan pun tak sama, Ahmad suka makan pedas, saya pula tak boleh makan pedas nanti bengkak dekat sekitar bibir. Cuma apa yang sama, kami berdua alergi dengan makanan laut,” kata Muhammad.

“Tetapi, kalau beli kasut, kami beli sepasang je jimat saya pakai sebelah kiri, Muhammad pula kanan. Kalau beli telefon pintar, laptop dan hal berkaitan gajet, saya banyak tanya pada Muhammad,” kata Ahmad.

Saling melengkapi menjadi kekuatan bagi Ahmad dan Muhammad ketika belajar di MSU, malah mereka bukan sahaja teruji dengan kekurangan pada diri, bahkan kehilangan ibu, Aisah Kandar pada tahun 2011.

“Masa itu kami bersekolah Tingkatan 1. Arwah ibu berpesan, jagalah adik baik-baik. Kami ada lima beradik, yang masih belajar atau bersekolah saya (Ahmad) dan dua orang adik. Saya (Muhammad) dan adik yang ketiga sudah bekerja,” kata mereka.

Muhammad kini bekerja sebagai ketua projek dekat sebuah syarikat berkaitan teknologi di Banting, Selangor tetapi bekerja di rumah sejak mula masuk pada bulan Mac lalu. Sementara Ahmad pula menjalani semester akhir dan juga menghadiri kelas secara dalam talian di rumah.

Mereka berdua berhasrat untuk menghadiri majlis konvokesyen bersama-sama apabila Ahmad tamat pengajian nanti. – UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN