Kami sedia beri kerjasama - KP Kastam - Utusan Malaysia

Kami sedia beri kerjasama – KP Kastam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sedia memberi kerjasama penuh terhadap siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu sistem uCustoms bernilai RM397.43 juta yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) kerana gagal disiapkan sejak projek itu bermula Oktober 2013.

Bercakap Utusan Malaysia, Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, pihaknya telah berhubung dengan SPRM berhubung perkara itu.

“Siasatan baru bermula namun kita sedia memberikan kerjasama sepenuhnya.

“Sudah tentu kita sedia membantu SPRM dalam mengenal pasti dokumen berkaitan serta pegawai yang terlibat mengendalikan projek berkenaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ketika ditanya mengenai perincian kegagalan projek sistem uCustoms bagi menggantikan Sistem Maklumat Kastam (SMK) untuk disiapkan dalam tempoh 86 bulan walaupun lima lanjutan tempoh masa (EOT) diberikan, Abdul Jalil enggan mengulas lanjut.

“Ia seperti dilaporkan namun saya tidak boleh nak komen lanjut, biarlah siasatan berjalan dahulu,” ujar beliau.

Kelmarin, Ketua Pesuruhjayanya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan pasukan khas ditubuhkan selain mengarahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya untuk mengetuai siasatan berkenaan.

Rabu lalu, menurut laporan audit itu, sejumlah RM272.99 juta telah dibayar kepada pembekal dan Pejabat Pengurusan Projek manakala hanya satu Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) berjumlah RM55,660 telah dikenakan.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh menggesa SPRM melakukan siasatan segera terhadap sistem uCustoms yang gagal disiapkan itu tetapi pembayaran telah dibuat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN