Johor pinda belanjawan negeri pastikan tiada yang tercicir - Utusan Malaysia

Johor pinda belanjawan negeri pastikan tiada yang tercicir

HASNI Mohammad menyampaikan geran hak milik kepada salah seorang penduduk pada Majlis Penyerahan Hak Milik Kampung Melayu Bukit Nyamuk dan Kampung Seri Maju Jaya, Machap di Dataran Mini Stadium Renggam, Kluang di Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Beberapa penambahbaikan akan dikemas kini kerajaan negeri bagi setiap inisiatif dalam Belanjawan Johor 2022 yang akan dibentangkan penghujung November ini dalam usaha memastikan penerima yang layak tidak tercicir.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, pindaan yang akan dilakukan susulan Bajet 2022 kerajaan Pusat yang dibentang semalam yang amat komprehensif dan merangkumi pelbagai aspek.

Menurut beliau, ia sekali gus memberi peluang kepada kerajaan negeri memperluaskan lagi bantuan-bantuan yang akan dipertimbangkan bagi mereka yang tidak tergolong atau berpeluang menerima faedah daripada bajet Pusat.

“Dalam belanjawan yang dibentang oleh Menteri Kewangan semalam, kerajaan Johor menerima 11 peratus daripadanya atau sekitar RM865 juta bagi tujuan untuk pembangunan dan pengurusan negeri.

“Kita bersyukur dan akan memanfaatkan sebaiknya, saya ucapkan terima kasih Perdana Menteri kerana melihat Johor ada potensi dalam hal tertentu seperti pintu masuk daripada Singapura, serta kesediaan kerajaan pusat membina satu pusat pengurusan untuk mereka yang datang ke Johor,” kata beliau pada  sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Hak Milik Kampung Sri Maju Jaya dan Kampung Bukit Nyamuk Renggam, di Dataran Belia Renggam, dekat sini.

Hasni memberitahu, bantuan melalui Belanjawan Johor 2022 itu turut akan diperluaskan kepada semua masyarakat mencakupi pelbagai aspek dan sektor ekonomi.

Sementara itu, dalam penyerahan geran hak milik yang disampaikan, Hasni menyatakan mereka adalah seramai 61 keluarga yang meneroka kawasan penempatan di kedua-dua lokasi tersebut sejak tahun 1970-an.

Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri juga telah bersiap siaga berhadapan dengan musim tengkujuh sehingga penghujung Disember dengan pusat penempatan dan peralatan serta kemudahan menghadapi banjir telah disiapkan.

“Selain itu, sama seperti tahun lalu di mana bencana banjir berlaku dalam pandemik kita akan terus menitik beratkan aspek prosedur operasi standard (SOP) yang ketat walaupun Johor kini sudah memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN