Jenazah Mohd. Diya selamat dikebumikan di Perkuburan Masjid An-Nur

Jenazah Mohd. Diya selamat dikebumikan

JENAZAH Mohd. Diya Che Jusoh dikebumikan di Perkuburan Masjid An-Nur, Kampung Krubong, Melaka. - FOTO/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jenazah Mohd. Diya Che Jusoh, anggota bomba yang meninggal dunia akibat lemas ketika cuba menyelamatkan mangsa banjir di Sungai Putat di sini semalam, selamat dikebumikan di Perkuburan Masjid An-Nur, Kampung Krubong di sini, sebentar tadi. 

Jenazah Allahyarham tiba di tanah perkuburan kira-kira pukul 11.20 pagi selepas disembahyangkan di masjid berkenaan dan pengebumian selesai pukul 11.50 pagi.

Urusan pengebumian jenazah Allahyarham dilaksanakan dengan istiadat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan dihadiri kira-kira 200 anggota serta penduduk kampung untuk memberi penghormatan terakhir.

Mohd. Diya, 46, berpangkat Pegawai Bomba Kanan (PBK) II dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah menghembuskan nafas terakhir, pukul 3.11 pagi tadi.   

Berita dukacita itu dimaklumkan Pengarah JBPM Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Abu Bakar Katain menerusi kenyataan akhbar.

Menurutnya, Allahyarham lemas dalam kejadian pada pukul 5.06 petang ketika cuba menyelamatkan seramai 14 orang penduduk kampung yang terperangkap di anjung sebuah rumah di kawasan berkenaan.

“Ketika menjalankan operasi penyelamatan, Mohd. Diya bagaimanapun telah tergelincir akibat ditolak arus deras dan terperangkap di longgokan rumput hanyut.

“Beliau kemudiannya diselamatkan oleh anggota bomba yang lain serta diberikan bantuan pernafasan di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka,” katanya. 

Tambahnya, Allahyarham dilaporkan tidak sedarkan diri dan bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan sebelum disahkan meninggal dunia, awal pagi tadi. 

Mengulas lanjut, beliau turut memberitahu, ketika melaksanakan operasi tersebut, kesemua anggota terlibat telah menggunakan alat perlindungan diri (life jacket) semasa membuat penyelamatan secara water crossing di lokasi kejadian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya