Guru digesa segera ambil vaksin sebelum 1 November  - Utusan Malaysia

Guru digesa segera ambil vaksin sebelum 1 November 

MOHAMAD Alamin (dua dari kiri) ketika selepas melawat kuarters Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Palong 7, Jempol hari ini.-UTUSAN/NURULAZMA SHAFIQAH KHAIRUL AZHAR.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Kementerian Pendidikan memberi masa sehingga 1 November ini kepada kira 2,000 guru di seluruh negara yang masih enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 untuk membuat keputusan. 

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata, pihaknya tidak mahu guru-guru yang menolak vaksin tanpa sebab ini akan menyalahkan kementerian atau kerajaan sekiranya tindakan disiplin dikenakan terhadap mereka.

“Setakat ini terdapat kira-kira 2,000 guru di seluruh negara yang belum berbuat demikian (menerima vaksin).

“Saya merayu dan berharap kepada mereka untuk segera tampil bagi menerima suntikan vaksin selaras dengan peraturan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum mereka kembali ke sekolah untuk mengajar,” katanya kepada pemberita dalam lawatan ke daerah ini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Mustapa Nagoor.

Selain itu, menurut beliau, pihak kementerian tidak mahu ibu bapa hilang kepercayaan dan keyakinan untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah ekoran terdapatnya guru yang masih enggan menerima vaksin.

“Guru-guru mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap ibu bapa dan masyarakat. Jadi, mereka perlu memastikan ibu bapa yakin tentang keselamatan anak-anak mereka di sekolah,” katanya lagi.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN