PETALING JAYA: Gerakan hartal akan terus mendesak kerajaan memberikan perancangan lebih menyeluruh dan segera berkaitan isu doktor kontrak yang belum ada kesudahan.
Jurucakap Gerakan Hartal Doktor Kontrak, Dr. Syahidul Ammar Said berkata, pihaknya merancang menubuhkan pergerakan persendirian seperti negara luar dan turut melibatkan kerjasama staf iaitu pembantu perubatan, jururawat dan doktor gigi.
Menurut beliau, gerakan tersebut bertujuan memastikan segala gerak kerja selepas ini menjadi lebih sistematik dan tiada lagi alasan daripada kerajaan untuk tidak mendengar pendapat doktor sebagai generasi kesihatan masa hadapan.
“Pergerakan persendirian ini salah satu usaha untuk menyelesaikan isu doktor kontrak secepat mungkin bersama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.
Terdahulu, Jawatankuasa Perjawatan Kementerian Kesihatan digesa mempercepatkan penyediaan kertas kerja mengenai pelantikan doktor kontrak ke dalam perkhidmatan tetap bagi membolehkan ia dibawa ke peringkat seterusnya dan akhirnya ke Kabinet.
Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, kertas kerja itu mesti merangkumi ulasan-ulasan daripada agensi kerajaan terlibat iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan.
Dalam pada itu, Syahidul berkata, gerakan hartal mahukan penambahbaikan segera daripada kerajaan kerana isu ini telah berlanjutan selama lima tahun dan prosesnya agak perlahan.
“Kami tidak pernah menggalakkan doktor untuk meletak jawatan namun ramai yang bertindak sedemikian disebabkan tekanan kerja dan ketidakseimbangan kebajikan yang diterima berbanding pengorbanan yang mereka lakukan ketika pandemik Covid-19.
“Kami mengharapkan ada perkembangan dan berita baik daripada pihak kerajaan berkaitan isu ini secepat mungkin,” katanya.- MINGGUAN










