Buruh cekal hadapi ujian berturut-turut - Utusan Malaysia

Buruh cekal hadapi ujian berturut-turut

ZAKARIA Mohamad yang patah kaki kanan akibat kemalangan jalan raya lebih sebulan lalu kini berjalan menggunakan tongkat. - UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Selepas hilang mata pencarian kerana terlibat dalam kemalangan lebih sebulan lalu, keluarga seorang buruh dihalau keluar rumah oleh pemiliknya kerana tidak mampu membayar sewa tertunggak.

Hidup Zakaria Mohamad, 52, semakin terhimpit apabila isteri, Sharipah Khatijah Tuan Besar, 55, pula diserang strok selepas mereka berpindah ke rumah sewa baharu di Kampung Melor Lama, di sini, kira-kira dua minggu lalu.

Dalam masa sama, dia yang patah kaki kanan terpaksa menggagahkan diri berjalan sambil bertongkat jika mahu ke mana-mana, gara-gara motosikal yang rosak akibat kemalangan belum dibaiki kerana ketiadaan wang.

Berkongsi keperitan hidupnya kepada Utusan Malaysia, lelaki itu berkata, dia tidak dapat keluar bekerja kerana belum sembuh sepenuhnya daripada kecederaan ditambah pula keadaan isteri yang lumpuh dan perlu dibantu setiap masa.

“Sudah dekat dua bulan saya tidak bekerja. Saya sekarang sudah tidak ada duit untuk beli lampin pakai buang isteri, bayar sewa rumah RM320 sebulan dan menyara makan minum kami termasuk seorang anak berumur 11 tahun.

“Buat masa ini, saya belum berupaya buat kerja berat kerana baru sahaja menjalani pembedahan kecil memasang skru di lutut,” katanya ketika ditemui di Kampung Melor Lama, di sini semalam.

Zakaria berkata, ketika ini, dia memerlukan sekitar RM1,000 untuk perbelanjaan lampin pakai buang, kos rawatan isteri serta membayar sewa rumah selain makan minum harian serta belanja anak mereka, Afifa, 11, yang akan memulakan persekolahan tidak lama lagi.

“Selepas dihalau keluar dari rumah sewa di Kampung Pak Badol, Melor, ada kawan bersimpati dan tolong carikan rumah sewa termasuk membantu menjelaskan wang pendahuluan.

“Selain kaedah moden, saya juga terpaksa mengeluarkan belanja merawat isteri menggunakan khidmat tradisional kerana keadaannya yang lemah dikatakan turut mencetuskan gangguan makhluk halus,” ujarya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0301041100029884 atas nama Zakaria Mohamad atau menghubunginya sendiri di talian 019-9997508. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN