Bergelar polis kerana P. Ramlee - Utusan Malaysia

Bergelar polis kerana P. Ramlee

Arifin Taib menunjukkan gambar lakonannya bersama Allahyarham Tan Sri P. Ramle dalam filem Enam Jahanam dan Anak Bapak di rumahnya di Kangkar Pulai disini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI pemberita; Raja Jaafar Ali
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jika menyebut nama Arifin Taib sudah tentu ramai tidak mengenalinya, tetapi pesara polis itu sebenarnya tidak asing dengan Allahyarham Tan Seri P. Ramlee kerana beliau pernah beberapa kali berlakon filem di bawah arahan seniman agung itu.

Menjangkau usia 75 tahun, Ari­fin mula menjinakkan diri dalam dunia lakonan pada tahun 1967 ketika berumur 21 tahun selepas mengetahui P. Ramlee mencari ramai pelakon pembantu.

“Saya bersama empat rakan dan adik pergi ke Studio Merdeka di Ulu Kelang dari Taman Setapak dengan menaiki bas Len Seng, tambang 15 sen. Setiba di sana, kami berjumpa dengan Hashim Jinggo sebelum dibawa bertemu P. Ramlee.
“Saat itu, kami sangat teruja kerana pertama kali jumpa P. Ramlee depan-depan berban­ding hanya melihat di panggung wayang. P. Ramlee mengajar kami cara berlakon tanpa perlu berdialog.

“Filem sedang dirakam masa itu Keluarga 69. Kami berlima diberi peranan pemain mahjong di sebuah kedai yang berakhir de­ngan pergaduhan, dapatlah upah RM7 masa itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Bermula daripada filem ber­kenaan bersama pelakon A.R. Tompel, Salleh Ghani, Raja Ismail serta beberapa pelakon lain membuatkan Arifin terus diberi peranan dalam beberapa filem lain arahan P. Ramlee.

Antaranya filem Anak Bapak, Enam Jahanam, Harimau Berantai, Kanca Tirana, Laksamana Do Re Mi, Tunggal, Jalan Lain Ke Syurga dan 4 Pendekar.

Menurut Arifin, ketika melakonkan babak dalam filem Enam Jahanam di Gua Batu Cave, semua kru diarahkan berhenti berlakon kerana berlaku rusuhan 13 Mei dan diarahkan pulang.

“Saya masih ingat kata-kata P. Ramlee kepada saya ketika berlakon filem Anak Bapak, arwah memberitahu, kau ni elok jadi polis yang kebetulan saya sedang melakonkan watak anggota polis mahkamah ketika itu,’’ katanya.
Sebelum itu, menurut Arifin, dia tidak pernah terfikir untuk memasuki polis.

“Filem terakhir saya Laksamana Do Re Mi, saya minta cuti daripada polis dua minggu untuk berlakon buat kali terakhir di bawah P. Ramlee,’’ jelasnya.

Selepas filem tersebut yang menyaksikan dia menerima upah paling tinggi sepanjang berlakon iaitu RM15, Arifin terus bertugas sebagai anggota polis sehingga bersara setelah berkhidmat selama 33 tahun dengan jawatan terakhir berpangkat Konstabel.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×