BENTONG: Pembukaan laluan Central Spine Road (CSR) atau Bentong Bypass dari persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1 ke Lebu kelmarin adalah hadiah kerajaan buat rakyat pantai timur termasuk di Pahang sendiri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua kampung Felda Sertik, Datuk Jamaluddin Ali ,61, berkata, pembukaan jalan tersebut dinanti penduduk di sini dan Raub selain perantau dari Kelantan yang bekerja di Lembah Klang untuk pulang ke kampung.
Menurut beliau, penduduk Felda Sertik hanya memerlukan 20 minit untuk pergi ke bandar Bentong melalui jalan tersebut berbanding hampir 40 minit sebelum ini.
“Laluan ini sangat selesa dan bertaraf dunia yang membuktikan perancangan jangka panjang kerajaan menepati keperluan rakyat dan kepentingan lonjakan ekonomi,” kata beliau di sini semalam.
Pembukaan laluan melibatkan Seksyen 5C dan 5D sepanjang 28.5 kilometer tersebut disempurnakan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Projek bernilai RM631.98 juta siapa pada April lalu dan menjadikan jumlah keseluruhan jajaran CSR yang dibuka kepada pengguna setakat ini sepanjang 89.25 kilometer.
Sementara itu, Pengerusi Kami Anak Felda (KAF) Wilayah Mempaga, Datuk Amiza Abu Adam berkata, laluan bebas tol tersebut bakal memberi impak ekonomi dan sosial kepada rakyat bukan sahaja penduduk Pahang malah mereka dari luar negeri ini.
“Pengguna yang melalui Bypass Bentong akan menikmati pemandangan semula jadi di kiri kanan jalan di samping usaha penambahbaikan landskap supaya lebih menarik sepanjang laluan itu,” katanya.
Penduduk bandar Raub dan juga Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia (AMBFM), Datuk Abdullah Abu Bakar pula berkata, jalan berkenaan secara langsung mengatasi kesesakan trafik di bandar Raub dan Bentong setiap kali musim perayaan.
“Felda Jaya Mempaga juga mendapat impak ekonomi kerana pengguna boleh susur keluar melalui Bulatan Mempaga yang terbesar di Malaysia ke Felda Mempaga hanya kira-kira dua kilometer,” katanya.- MINGGUAN











