Banjir paling teruk di Shah Alam dalam 30 tahun - Utusan Malaysia

Banjir paling teruk di Shah Alam dalam 30 tahun

ABDUL Aziz Hassan senalammenunjukkan paras air yang naik semasa banjir kilat melanda di kawasan rumahnya dekat Taman Bukit Kemuning, Bukit Rimau di Shah Alam, Selangor Rabu lalu. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penduduk perumahan di Bukit Rimau, Bukit Kemuning di sini menyifatkan banjir kilat yang berlaku kelmarin adalah yang terburuk sejak 1990 apabila paras air naik hampir satu meter.

Seorang penduduk di Taman Bukit Kemuning, Abdul Aziz Hassan, 62, berkata, walaupun banjir kilat kerap berlaku di kawasan rumahnya setiap kali hujan lebat, namun kejadian Rabu itu adalah paling teruk sejak 31 tahun.

“Hujan lebat petang semalam (kelmarin) dijangka berlaku sebab air parit dekat tepi jalan bahagian hadapan perumahan memang pasti melimpah. Dalam tahun ini sahaja sudah beberapa kali berlaku banjir kilat, tetapi hanya beberapa rumah sahaja terjejas.

“Tetapi kali ini saya terkejut bila air datang menderu dan parasnya mencecah lebih daripada biasa antara 0.6 hingga 0.8 meter. Lebih 20 rumah berdekatan dengan deretan kedai dimasuki air,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Terdahulu akhbar ini melaporkan sembilan kawasan di Selangor dilanda banjir kilat antaranya Bukit Kemuning di Shah Alam.

Sebanyak 259 penduduk dari lima kawasan dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) apabila kediaman mereka dinaiki air melebihi paras satu meter.

Sementara itu, seorang penduduk sekitar yang ingin dikenali sebagai Roziah berkata, banjir semalam tidak pernah dialaminya sejak tinggal menyewa 10 tahun lalu.

“Air yang mengalir amat luar biasa hingga boleh masuk ke dalam rumah. Nasib baik hanya 0.6 meter kalau lebih habislah rosak peralatan elektrik. Walaupun cepat, namun hati tetap bimbang jika ia berulang,” katanya.

Bagaimanapun, tinjauan semalam mendapati air di dalam longkang besar sekitar kawasan Pangsapuri Kemuning Aman sudah pun surut tetapi mempunyai kesan banjir seperti takungan air dan lumpur. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×