PUTRAJAYA: Penggiat industri kreatif tempatan disaran lebih agresif bagi menjana semula pendapatan menerusi peruntukan keseluruhan RM288 juta yang dikhususkan untuk industri itu menerusi Bajet 2022.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau memahami industri kreatif adalah sektor paling terkesan dan menjejaskan lebih sejuta penggiat seni.
Beliau berkata, pelbagai inisiatif akan diteruskan tahun hadapan bagi merancakkan semula aktiviti industri kreatif yang diselia Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) dan MyCreative Ventures.
“Menerusi peruntukan RM188 juta, pelbagai inisiatif diteruskan termasuk Dana Kandungan Digital, Projek Kandungan Multimedia Digital, Insentif Filem, Program Perkasa Modal Insan dan perlindungan Perkeso kepada golongan artis.
“Kementerian juga akan menjayakan program RIUH Keluarga Malaysia melalui Dana Padanan Pinjaman Pelaburan berjumlah RM20 juta yang mana turut menawarkan 5,000 peluang pekerjaan baharu,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, beliau juga pasti peruntukan sebanyak RM30 juta melalui Skim Padanan Pinjaman Pelaburan bagi inisiatif Platform Animasi Negara dapat mengetengahkan lebih banyak animasi tempatan ke persada antarabangsa.
Annuar berkata, geran padanan RM50 juta bagi melaksanakan inisiatif seni dan budaya pula dijangka dapat memacu pemulihan serta menjana semula ekonomi industri kreatif negara.
Menurutnya, pengecualian duti hiburan ke atas aktiviti hiburan termasuk panggung wayang di semua Wilayah Persekutuan dan lanjutan pengecualian cukai pelancongan sehingga 31 Disember 2022 juga bakal memberi kelegaan kepada pihak yang terlibat. – UTUSAN











