LIPIS: Bajet 2022 bertema Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera boleh dianggap sebagai ‘bajet restorasi’ bagi memulihkan semula sektor pembangunan dan sosioekonomi negara yang terkesan teruk akibat penularan Covid-19.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bajet mesra rakyat itu berupaya menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri dan negara.
“Kita sedia maklum bahawa negara kita terkesan akibat penularan Covid-19 yang turut melibatkan pembangunan untuk rakyat di negeri ini.
“Bagi kerajaan negeri, saya ucap terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di mana sebagai contoh sebanyak RM450 juta telah diperuntukkan bagi program pemulihan alam sekitar.
“Kita boleh gunakan untuk pembangunan Tasik Chini yang terkesan sedikit akibat penerokaan tidak sihat dan kerajaan negeri telah ambil tindakan menghentikan kerja-kerja perlombongan dan sebagainya,” katanya selepas program penyampaian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) di Dewan Laman Sejahtera Sungai Koyan di sini hari ini.
Turut hadi Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Abd. Rahim Muda; Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd. Noor serta Pegawai Daerah Lipis, Datuk Mohd. Hafizi Ibrahim.
Menurut beliau, peruntukkan RM 2.5 bilion untuk pembangunan masyarakat luar bandar dengan pengkhususan sebanyak RM 1.3 bilion untuk Felda, RM495 juta kepada Felcra dan RM699 juta kepada Risda akan membantu pertumbuhan ekonomi masyarakat luar bandar dengan lebih pantas.
“Saya percaya peruntukan sebanyak RM2.5 bilion kepada Kementerian Luar Bandar turut akan dinikmati negeri ini kerana di Pahang, kita mempunyai tiga wilayah Felda, 22 buah kawasan Felcra dan hampir 20,000 pekebun kecil yang berdaftar di bawah Risda,” tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, kata beliau, kerajaan negeri turut teruja dengan peruntukan RM3.5 bilion bagi pembangunan infrastruktur di negara ini, termasuk projek Central Spine Road (CSR) yang bermula di Kuala Pilah sehingga ke Kuala Krai yang merentasi negeri ini.
“Pada Oktober 2021, kita telahpun melancarkan Bentong Bypass yang menjadi sebahagian daripada CSR dari persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1,” katanya. – UTUSAN