52 tahun menoreh, tak pernah rasa RM3.50 sekilogram - Utusan Malaysia

52 tahun menoreh, tak pernah rasa RM3.50 sekilogram

ABDUL Ghani Zainun menoreh getah di kebun milik keluarganya di Kampung Kubang Halban, di Kuala Kangsar. - UTUSAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD. SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Cadangan kenaikan harga lantai getah seke­rap kepada RM3.50 sekilogram membantu penoreh getah memperoleh pendapatan lebih baik.

Penoreh, Abdul Ghani Zainun, 68, berkata, sepanjang 52 tahun menoreh, dia belum merasai harga getah keping dan sekerap setinggi RM3.50 sekilogram se­perti yang dicadangkan Risda baru-baru ini.

Menurutnya, sudah sampai masanya kerajaan membantu penoreh getah memperoleh pendapatan lebih baik.
“Penoreh getah bukan golo­ngan yang hidup senang kerana harga getah rendah.

“Pernah sekitar 80-an, masa itu harga getah paling tinggi RM1.40 sekati dan kami pula dalam sebulan bukannya menoreh 30 hari, kadang-kadang tak sampai 15 hari pun menoreh,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Kubang Halban di sini.

Menurut Abdul Ghani, sekiranya cuaca baik dan bukan musim daun luruh, dia boleh memperoleh sehingga 500 kilogram (kg) getah sekerap sebulan.

Katanya, namun jumlah pendapatan sebenar tidak seberapa, apatah lagi penoreh sepertinya yang mengambil upah menoreh.

“Itu belum lagi apabila musim tengkujuh, getah yang ditoreh berkurangan lebih separuh, kadang-kadang hanya dapat jual 200 kg getah sekerap sebulan sahaja,” katanya.

Datuk kepada 15 cucu itu berkata, sekiranya kerajaan dapat melaksanakan harga lantai getah sekerap RM3.50 sekilogram, ia memberi kelegaan kepada penoreh sepertinya.

Katanya, kerajaan perlu melihat kesusahan mereka kerana kos hidup semakin naik.
“Selain menetapkan harga lantai, lihatlah keperluan lain.Kami bukan hidup senang dan RM3.50 sekilogram itu kalau jadi, memang betul-betul membantu kami.

“Saya cakap macam ini sebab saya pernah rasa susahnya masa harga getah rendah dan syukur sekarang anak-anak sudah besar dan mereka ada membantu saya walaupun saya masih menoreh,” katanya.

Dia sudah hampir tiga bulan tidak menoreh getah krana pokok di kebun getah milik kakak iparnya sudah kurang mengeluarkan susu getah.

Sebelum ini, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyokong permintaan Risda untuk kerajaan mempertimbang kenaikan harga lantai getah sekerap kepada RM3.50 sekilogram, bagi membolehkan lebih ramai penoreh getah keluar daripada garis kemiskinan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN