fbpx

28 November 2021, 8:18 am

  TERKINI

4 juta kenderaan guna lebuh raya hujung minggu ini

KEADAAN di Plaza Tol Jalan Duta di ibu negara pada hari pertama selepas kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri bermula semalam. – Utusan/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah trafik dijangka meningkat kepada em­pat juta kenderaan sehari terutamanya pada cuti hujung ming­gu ini dan cuti umum Mau­lidul Rasul pada 19 Oktober susulan kebenaran pergerakan rentas negeri bermula semalam.

Mengikut jangkaan syarikat konsesi lebuh raya, jumlah kenderaan yang menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) bakal meningkat kepada 1.3 juta kenderaan berbanding 1.1 juta sehari manakala Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) meningkat kepada 160,000 kenderaan sehari yang sebelum ini hanya 60,000 sehari.

Bagi pengguna Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) pula, jangkaan jumlah kenderaan meningkat kepada 45,000 sehari berbanding 16,000 sebelum ini.

Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Mohd. Shuhaimi Hassan berkata, jumlah itu meningkat lebih setengah juta berbanding 3.5 juta kenderaan sehari pada masa kini khususnya bagi pergerakan antara negeri sama ada keluar atau masuk ke Lembah Klang.

Justeru, menurut beliau, pihaknya mengambil langkah-langkah perlu untuk memastikan kelancaran trafik di lebuh raya dan syarikat konsesi lebuh raya diarahkan menjadualkan semula pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan dan mengelakkan penutupan lorong.

Katanya, ini terutama melibatkan Lebuhraya PLUS, Lebuhraya KLK, Lebuhraya LPT dan Lebuhraya Kajang-Seremban semasa cuti hujung minggu atau cuti umum bagi mengelakkan kesesakan.

“Persediaan rapi juga perlu dilakukan di plaza tol bagi memastikan kelancaran pergerakan kenderaan semasa melakukan transaksi di situ.

“Syarikat pengendali le­buh raya diarahkan melakukan persiapan bagi memastikan semua kawasan rehat & rawat (R&R) dan hentian sebelah sepanjang lebuh raya berada dalam keadaan baik dan teratur serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Ne­gara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelakkan penularan virus Covid-19,” katanya dalam ke­nyataan semalam.

Mohd. Shuhaimi berkata, pengguna lebuh raya perlu memastikan kenderaan dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan selain baki kad Touch‘n Go mencukupi.

Selain itu, katanya, pengguna diminta membuat perancangan dan mendapatkan rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan dan mematuhi semua SOP terutama pemakaian pelitup muka, mengamalkan penjarakan sosial, mengelakkan tempat sesak terutama ketika menggunakan kawasan R&R.

“Rekod pergerakan menerusi aplikasi MySejahtera terutamanya apabila berada di kawasan R&R atau hentian sebelah.

“Pengguna lebuh raya boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia di talian 1 – 800 – 88 – 7752 untuk mendapatkan maklumat keadaan trafik atau mendapatkan bantuan,” katanya.

Maklumat keadaan trafik juga boleh diperoleh menerusi laman Facebook : Lembaga Lebuhraya Malaysia atau di Twitter @LLMinfotrafik.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran ren­tas negeri dan keluar negara bermula semalam.

Namun, kelonggaran itu hanya buat mereka yang lengkap divaksin dan pemeriksaaan secara rawak akan dilakukan untuk mengesan mereka yang melanggar arahan tersebut.

Perdana Menteri berkata, mana-mana individu yang tidak mempunyai dua dos vaksin atau tidak langsung divaksin adalah tidak dibenarkan melakukan merentas negeri.- UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN