Wanita curi tabung masjid luah kesal, sangat rindu anak - Utusan Malaysia

Wanita curi tabung masjid luah kesal, sangat rindu anak

NOR AMIRA Roslan (kanan) menerima kunjungan Tuan Marja Tuan Mat (tengah) dan wakil Yayasan Ikram Malaysia negeri Perlis, Rohana Alias di salah sebuah kawasan di Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Nor Amira Roslan, 28, yang dibebaskan selepas diikat jamin kelmarin berharap sokongan orang ramai untuk dirinya berubah ke arah lebih baik pada masa depan.

Meluahkan kepada Mingguan Malaysia dalam keadaan sebak, Nor Amira mengakui menyesal atas perbuatannya mencuri tabung masjid dan berjanji berubah demi kepentingan diri dan anaknya berusia empat tahun.

Dalam masa sama, wanita berkenaan mengakui cukup rindu terhadap anak lelakinya selepas sebulan tidak berjumpa saat dia mengambil keputusan keluar dari rumah mentua ekoran masalah bersama suami.

Nor Amira juga berharap dia diberi peluang dan sokongan semua pihak bagi memulakan kehidupan baharu selain berjanji tidak akan mengambil lagi bahan terlarang yang boleh memudaratkan dirinya.

“Saya menyesal, nak berubah ke arah lebih baik demi anak. Saya sudah serik dan apa yang berlaku ini memberi pengajaran. Manusia tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan dan ini mungkin ujian kepada saya untuk berubah membetulkan diri.

“Saat ini, saya sangat rindukan anak, lebih sebulan tidak bertemu selepas saya keluar dari rumah (mentua). Saya sangat rindu untuk jumpa anak,” katanya.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan, wanita itu yang dituduh di Mahkamah Majistret di sini, baru-baru ini kerana mencuri tabung masjid yang mengandungi wang bernilai RM40 di Padang Pauh, Padang Besar, dibebaskan selepas dijamin.

Wanita itu diikat jamin oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Abu Bakar Hamzah.

Sebelum ini, wanita tersebut mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut dan mahkamah menetapkan tarikh 4 Oktober ini untuk sebutan semula.

Tambah Nor Amira, dia mempunyai masalah keluarga dan kini dalam proses perceraian selain mengakui punca dia mengambil barang terlarang sebelum ini atas faktor tekanan.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Amal dan Kebajikan Rumah Lavender (Rumah Lavender), Tuan Marja Tuan Mat berkata, pihaknya bersama Yayasan Ikram Malaysia dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain akan memantau Nor Amira serta membantu proses untuk dia berubah.

Katanya, selain bantuan, pihaknya bercadang memberi khidmat kaunseling untuk membantu ibu kepada seorang anak itu menjalani kehidupan lebih baik.

“Kita juga akan cuba membantu bagi menemukan Nor Amira dengan anaknya selepas dia mengakui sangat merindui anak. Sepanjang proses pemulihan, saya berharap Nor Amira terus memberi kerjasama.

“Selain itu, pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) juga banyak membantu wanita tersebut dari segi bantuan dan sebagainya selama ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN