JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyambut baik keputusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk membenarkan pelajar universiti kembali ke kampus secara fizikal menjelang 15 Oktober ini.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, untuk permulaan, pihaknya akan mengehadkan seramai 6,000 penuntut pulang ke kampus.
“Buat masa ini, universiti menetapkan maksimum 6,000 orang penuntut sahaja yang akan dibenarkan masuk dan persiapan logistik sedang dirancang bagi membolehkan pergerakan mereka masuk ke kampus adalah terkawal.
“Sekembalinya ke kampus, keselamatan, kebajikan dan kesihatan penuntut serta warga UTM akan diberi keutamaan dengan kerjasama Jabatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Bahagian Keselamatan dan Pusat Kesihatan Universiti.
“Ia termasuk penyediaan pusat isolasi dengan kapasiti 1,000 orang, pusat kuarantin, penginapan penuntut di kampus secara satu bilik seorang serta sekatan kemasukan.
“Selain itu, prosedur operasi standard (SOP) juga sedang dibangunkan dengan mengambil kira kenyataan KPT, cadangan Majlis Perwakilan Pelajar dan juga pekeliling akademik,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Semalam, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad mengumumkan kemasukan pelajar yang lengkap dua dos vaksinasi ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 15 Oktober ini.
Sementara itu, Ahmad Fauzi turut memberitahu, penuntut yang ingin kembali ke kampus perlu membuat permohonan di mana universiti akan membuat pertimbangan dan keutamaan akan diberi kepada mereka yang berkeperluan.
“Kategori penuntut yang diberi keutamaan adalah seperti yang perlu menjalani Latihan Industri di kampus, mempunyai keperluan masuk kampus dengan ketetapan KPT, pelajar berstatus khas, pelajar terjejas yang memerlukan ruang pembelajaran kondusif serta pelajar baharu kemasukan semester I sesi 2021/22.
“UTM juga akan memastikan penuntut yang dibenarkan masuk mengikut prosedur operasi standard (SOP) Sektor Pendidikan Tinggi: Pengoperasian IPT agar dapat membentuk persekitaran yang selamat dan imuniti kelompok di kampus,” ujarnya.
Tambah beliau, sehingga hari ini, sebanyak 70.8 peratus daripada 22,635 orang penuntut telah selesai vaksinasi dan bagi yang belum mendapat janji temu, UTM akan menyediakan kemudahan vaksin secara ‘walk-in’ di Pusat Pemberian Vaksin kategori IPT Integrasi di kampus.
“UTM mengambil pelbagai inisiatif bagi memastikan kebajikan serta keperluan akademik penuntut terjaga agar kualiti pendidikan tidak terjejas sungguhpun pelajar tidak berada di kampus,” katanya. -UTUSAN ONLINE