IPOH: Usul undi percaya untuk membuktikan keabsahan pelantikan Perdana Menteri di Parlimen tidak dilarang oleh mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan.
Ketua Pembangkang Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, meskipun amalan itu tidak disebut dalam Perlembagaan ia juga tidak dilarang, malah lebih hampir kepada semangat Perlembagaan.
“Boleh dikatakan ia adalah amalan atau tradisi yang harus diteruskan. Apa lagi dalam keadaan majoriti yang tipis dan dipersoalkan.
“Dengan itu, titah Yang di-Pertuan Agong supaya usul undi percaya untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu diteruskan,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Abdul Aziz yang juga Naib Pengerusi DAP Perak berkata, setakat ini, semua pihak juga dilihat sepakat bahawa usul percaya adalah perlu bagi mengesahkan pelantikan di pertengahan penggal.
Katanya, keadaan itu berbeza dengan pelantikan kerajaan oleh Yang Di-Pertuan Agong dan raja-raja selepas pilihan raya umum.
“Amalan di Malaysia juga agak konsisten, bermula dengan Tun Hussein Onn pada 1976 diikuti Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2003 dan Datuk Saarani Mohamad di Perak pada 2020.
“Semua pelantikan tersebut diikuti oleh usul percaya di dalam Dewan Negeri dan Dewan Rakyat,” katanya.
Pada 18 Ogos lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya Perdana Menteri Kesembilan yang dilantik perlu segera mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat bagi mengabsahkan jawatan beliau.
Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan selepas kehilangan majoriti sokongan Ahli Dewan Rakyat. – UTUSAN ONLINE










