JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan terdapat kes positif Covid-19 yang kononnya dikesan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Muafakat Adda Height, di sini.
Pengarah JKNJ, Datuk Dr. Aman Rabu berkata, mesej yang tular dalam media sosial itu adalah tidak benar.
“Tiada laporan mengenai tiga warga Bangladesh yang positif Covid-19 dikesan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mesej tular itu meminta orang ramai yang ke PPV berkenaan supaya berhati-hati kerana minggu lalu terdapat tiga warga Bangladesh yang mengambil vaksin positif Covid-19.
Pihak tidak bertanggungjawab itu turut menyatakan PPV berkenaan tidak ditutup untuk proses sanitasi dan tidak selamat dikunjungi orang lain yang mempunyai janji temu bagi mendapatkan vaksin. – UTUSAN ONLINE