Terhidu toksik lebih teruk daripada Covid-19 - Utusan Malaysia

Terhidu toksik lebih teruk daripada Covid-19

ROZINA Ahmad ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Seri Aman, Kempas di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dua beradik wanita pengsan dan sehingga sekarang penafasan mereka belum stabil selepas terhidu bau toksik itu ketika memasak di rumah mereka di Kampung Baru Seri Aman, Kempas malam kelmarin.

Rozina Ahmad, 46, berkata, dia dan kakaknya, Zarina, 49, terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultan Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan susulan mengalami sesak nafas manakala dirinya muntah lebih 20 kali semalam.

Ceritanya, pencemaran udara akibat buangan industri terjadual itu disedarinya pukul 7.30 malam ketika memasak.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada awalnya, ibu kepada tiga anak itu berkata, dia menyangka berlaku kebocoran gas di dapur namun bau itu semakin kuat dan mula terdetik di hatinya mungkin berlaku pencemaran toksik yang pernah berlaku di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang pada 2019.

Katanya, jangkauannya tepat apabila suami, Abdul Rahim Md. Taib, 47, yang cuba mengesan punca bau itu ternampak kepulan wap dari anak sungai yang terletak pada jarak 30 meter dari rumah.

“Sekitar pukul 9 malam, kakak saya, Zarina, 49, tercungap-cungap setelah terhidu bau toksik itu sebelum jatuh pengsan. Susulan itu, suami menghubungi pihak bomba memaklumkan kejadian tersebut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia hari ini.

Tidak lama selepas itu, Rozina memberitahu, dia turut mengalami sesak nafas sebelum pengsan dan dikejarkan ke HSA, hospital sama dengan kakaknya dirawat.

“Ketika dirawat, doktor memaklumkan bau toksik itu masih melekat di dalam badan saya malah nafas turut berbau toksik. Doktor yang merawat memasukkan kamera dalam badan untuk memeriksa bahan kimia selain membuat pemeriksaan x-ray.

“Keadaan ini lebih teruk daripada Covid-19. Ini kerana walaupun saya baru habis kuarantin akibat diserang wabak itu, saya masih boleh bernafas seperti biasa dan bukannya seperti terhidu bau toksik yang beracun itu,” katanya.

Menurutnya, keadaannya pada ketika ini masih lemah dan tidak berdaya kerana masih sakit dada, pening kepala, kering tekak dan batuk.

Katanya, dia masih mengalami kesukaran bernafas dan keadaan bertambah buruk kerana dia menghidap asma.

Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan di tali air di Kampung Baru Sri Aman kelmarin.

Penolong Pegawai Kawalan Kanan Alam Sekitar JAS Johor, Muhammad Faiz Mohd. Shafie berkata, operasi pembersihan tersebut dijalankan bermula pukul 9 pagi hingga 11.30 pagi semalam.
“Tumpuan kerja-kerja pembersihan hari ini adalah melihat saki baki pencemaran yang masih melekat di tebing-tebing alur anak sungai berdekatan dengan rumah penduduk yang terlibat.

“Kaedah digunakan adalah dengan menggunakan ‘oil boom’ dan ‘absortion pad’ serta kaedah manual seperti cangkul dan ‘scoop’ bagi membuang sisa pencemaran yang melekat di tebing, rumput dan kayu di anak sungai,” katanya ketika semalam.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×