Stok beras ditingkatkan 290,000 tan menjelang 2023 - Utusan Malaysia

Stok beras ditingkatkan 290,000 tan menjelang 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah simpanan stokpail beras negara ditingkatkan secara berperingkat kepada 290,000 tan metrik menjelang 2023.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, langkah itu sepertimana dipersetujui dalam Perjanjian Konsesi dengan syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

Katanya, menjelang akhir tahun ini, jumlah simpanan stok beras negara ditingkatkan kepada 200,000 tan metrik, berbanding 150,000 tan metrik ketika ini.

“Penambahan stok beras negara sehingga 2023 membabitkan kos RM230 juta yang ditanggung Bernas selaku syarikat pemegang konsesi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau meninjau simpanan stok beras negara bagi zon Sabah di Telipok.

Yang hadir sama Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan dan Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Azman Mahmood.

Kiandee berkata, kementeriannya melakukan pemeriksaan berkala bagi memastikan bekalan beras di seluruh negara sentiasa mencukupi sekali gus menampung keperluan penduduk, termasuk sepanjang tempoh pandemik.

“Lawatan pemeriksaan berkala dibuat di semua lokasi penyimpanan simpanan stok beras negara yang meliputi zon Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Kementerian sentiasa menilai tahap stok beras negara dalam menampung keperluan atau permintaan luar jangka,” katanya.

Menurutnya, lawatan pemeriksaan berkenaan selaras dengan terma perjanjian konsesi di antara kerajaan dengan Bernas bagi memastikan simpanan stok negara sentiasa mencukupi dan berada dalam keadaan baik sepanjang masa.

“Ada 31 gudang simpanan stok negara yang dikendalikan Bernas dan syarikat itu memenuhi Indeks Pencapaian Prestasi (KPI) ditetapkan kerajaan.

“Ketika ini, keperluan beras rakyat negara ini mencapai 2.5 juta tan metrik setahun, manakala pengeluaran beras negara ialah kira-kira 70 peratus daripada keperluan itu.

“Negara masih mengimport 30 peratus daripada keperluan atau kira-kira 700,000 hingga 900,000 tan metrik beras setiap tahun, bagi menampung kekurangan pengeluaran beras dalam negara selain memenuhi permintaan terhadap beras premium dan istimewa,” katanya.

Tambah beliau, operasi industri padi dan beras tempatan tidak terjejas walaupun negara berdepan dengan pandemik Covid-19 berikutan langkah kerajaan meletakkan kegiatan pertanian termasuk penanaman padi sebagai perkhidmatan perlu bagi memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi.

“Kerajaan terus memastikan operasi industri padi dan beras serta rantaiannya sentiasa lancar dalam menjamin kelangsungan bekalan makanan ruji negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN