PETALING JAYA : Satu pasukan khas ditubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjalankan siasatan berhubung isu sistem uCustoms bernilai RM397.43 juta yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) kerana gagal disiapkan sejak projek itu bermula pada Oktober 2013.
Ketua Pesuruhjayanya Datuk Seri Azam Baki berkata, beliau telah mengarahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya untuk mengetuai siasatan berkenaan.
“Siasatan adalah menjurus kepada sebarang perlakuan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.
Terdahulu, LKAN 2019 Siri 2 yang dibentangkan di Dewan Rakyat kelmarin mendedahkan sistem uCustoms oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi menggantikan Sistem Maklumat Kastam (SMK) gagal disiapkan dalam tempoh 86 bulan walaupun lima lanjutan tempoh masa (EOT) diberikan.
Menurut laporan audit itu, sejumlah RM272.99 juta telah dibayar kepada pembekal dan Pejabat Pengurusan Projek manakala hanya satu Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) berjumlah RM55,660 telah dikenakan.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh menggesa SPRM melakukan siasatan segera terhadap sistem uCustoms yang gagal disiapkan itu tetapi pembayaran telah dibuat.-UTUSAN