Sindiket edar heroin tumpas, wanita antara sembilan dicekup - Utusan Malaysia

Sindiket edar heroin tumpas, wanita antara sembilan dicekup

AHMAD Jefferi Abdullah (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas polis dalam beberapa siri serbuan di sekitar Lembah Klang pada minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran heroin dengan tertangkapnya sembilan suspek termasuk seorang wanita di sekitar Lembah Klang, minggu lalu.

Penahanan kesemua individu itu membawa kepada rampasan dadah seberat 30.35 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM910,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah berkata, semua suspek berusia 30 hingga 50 tahun itu diberkas dalam beberapa siri serbuan yang dijalankan JSJN Bukit Aman.

Katanya, seorang suspek lelaki ditahan dalam serbuan awal di sebuah rumah teres dua tingkat di Puncak Alam, dekat sini pada 20 September lalu.

“Hasil soal siasat kemudian membawa kepada beberapa serbuan di sekitar Subang Jaya, Petaling Jaya, Gombak, Brickfields dan Cheras .

“Dalam serbuan pada hari sama itu, seramai tujuh lelaki dan seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Deputi Superintendan Zainudin Abdul Hamid dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Sungai Buloh, Asisten Superintendan Mohd. Joharizal Hamzah.

Jelas Ahmad Jefferi, selain rampasan 57 bungkusan berisi dadah disyaki heroin, polis menyita aset sindiket berkenaan untuk tindakan lanjut.

“Sitaan melibatkan pelbagai aset sindiket itu keseluruhannya dianggarkan bernilai RM286,408,” ujarnya.

Tambah beliau, siasatan lanjut mendapati enam daripada suspek memiliki rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Selain itu, ujian saringan awal air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah. Kesemua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.-UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN