Sanggup beratur panjang demi beli keladi - Utusan Malaysia

Sanggup beratur panjang demi beli keladi

Antara keladi yang dijual di sebuah nurseri di Pasir Puteh yang menjadi tumpuan orang ramai.- UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Kegilaan kepada pelbagai spesies pokok keladi kian menjadi-jadi sehingga ada yang sanggup beratur di tengah panas semata-mata untuk masuk ke sebuah nurseri di sini.

Bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP), pengurusan nurseri tersebut menghadkan jumlah pelanggan masuk ke premis, namun tetap ramai setia berbaris walaupun terpaksa menunggu antara 15 minit hingga setengah jam.

Antaranya, Rahimah Ismail, 44, berkata, dia sanggup berpanas menunggu giliran, asalkan dapat membeli pokok keladi yang dihajati untuk dijadikan hiasan di rumahnya.

“Pengurusan nurseri ini mengehadkan kehadiran pelanggan bagi mengelakkan kesesakan. Selain itu pelanggan perlu tunjukkan bukti sudah lengkap dua dos suntikan vaksin dan lakukan imbasan suhu sebelum dibenarkan berlegar-legar di dalam nurseri.

“Saya beratur kira-kira 15 minit sebelum dibenarkan masuk. Penantian itu berbaloi kerana saya dapat membeli pelbagai jenis keladi yang tular di media sosial,” katanya ketika ditemui di sini Sabtu lalu.

Zawani Ismail, 30, berkata, nurseri itu turut menjadi tumpuan kerana kesukaran orang ramai mendapatkan koleksi pokok keladi terkini yang lazimnya diperoleh dari Cameron Highlands dan Sungai Buloh.

“Saya terpaksa beratur 20 minit semata-mata mahu membeli pokok keladi yang dipesan isteri. Ini kali pertama dalam hidup saya melihat orang beratur panjang kerana mahu membeli pokok keladi,” katanya.

Difahamkan, antara spesies menjadi buruan ialah Florida Beauty, Monstera, Alocasia, Calocasia Pharaoh Mask atau Topeng Firaun yang harganya mampu mencecah ribuan ringgit sepokok.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN