Rugi lebih RM50,000 gara-gara kerja sambilan - Utusan Malaysia

Rugi lebih RM50,000 gara-gara kerja sambilan

MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Harapan seorang penyelia lombong mendapatkan pendapatan lebih, berkecai apabila ditipu individu yang menawarkan kerja sambilan hingga menyebabkannya kerugian RM55,700. 

Mangsa yang berusia 38 tahun itu telah ditawarkan untuk bekerja dengan menggunakan aplikasi ‘Nice Jobs’ di laman sosial Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa mendakwa mengenali suspek melalui laman sosial Facebook sejak April lalu.

“Suspek bernama ‘Ting Su Li’ itu menghubungi mangsa melalui aplikasi WhatsApp menggunakan dua nombor berbeza dan meminta mangsa memuatnaik aplikasi ‘Nice Jobs’ untuk memulakan kerja sambilan itu. 

“Sebagai orang tengah, mangsa perlu membayar dahulu barangan dipesan pelanggan melalui aplikasi itu dan selepas barangan diterima pelanggan serta pembayaran dibuat, mangsa akan memperoleh komisen antara 10 hingga 15 peratus daripada harga barangan itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Mohd. Wazir berkata, mangsa mula membuat tiga kali pemindahan wang ke tiga akaun berbeza diberikan suspek sejak 22 Ogos hingga 2 September lalu.

“Wang yang diberikan kepada suspek tersebut bagi tujuan pembelian barangan dipesan pelanggan melalui ‘Nice Jobs’ dengan jumlah keseluruhan pemindahan RM55,700.

“Aplikasi ‘Nice Jobs’ yang menggunakan kata laluan diberikan suspek kepada mangsa juga sudah tidak boleh diakses lagi,” katanya.

Sementara itu, katanya, mangsa menyedari ditipu apabila komisen dijanjikan suspek hasil urus niaga menggunakan aplikasi berkenaan tidak diterima mengikut jadual pembayaran ditetapkan. 

“Mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya