SEGALA-GALANYA bermula selepas suami Salma (bukan nama sebenar) diberhentikan kerja oleh majikan selepas didapati terlibat dalam penyalahgunaan dadah sekitar Mei 2018.
Arman (bukan nama sebenar) yang bekerja sebagai budak pejabat ketika itu didapati turut melanggar disiplin termasuk sering datang lewat, cuai dalam tugasan dan didakwa atas kesalahan mencuri wang petty cash pejabat.
Bermula dari situlah kehidupan Salma anak beranak berubah. Salma yang sebelum ini berniaga kuih-muih secara kecil-kecilan membantu suaminya, terpaksa memerah lebih keringat dengan melakukan satu lagi pekerjaan iaitu mengemas rumah orang pada sebelah petang.
Hampir setahun lebih juga Arman tidak bekerja dan hanya melakukan kerja-kerja mengutip besi buruk dan barang kitar semula untuk dijual.
Sepanjang tempoh itu juga Salma menyedari sikap suaminya semakin berubah.
Sebelum ini Arman yang dikenali sebagai seorang suami dan bapa penyayang kini bertukar menjadi pemarah dan panas baran.
Mangsa Arman tidak lain anak sulung mereka Haris yang ketika itu berusia 10 tahun.
Pantang Haris melakukan kesalahan walaupun sedikit, pasti tangan kaki Arman menyinggah tubuh kecil Haris.
Salma tidak menyangka Haris yang sebelum ini begitu rapat dan merupakan anak manja turut menjadi mangsa panas baran Arman.
Tidak berhenti di situ sahaja, Haris turut dikerah mengikut Arman melakukan kerja-kerja mengutip besi-besi buruk setiap kali pulang dari sekolah.
Salma mengakui bukan tidak menasihatkan suaminya, namun setiap kali ditegur dia juga turut disepak terajang lelaki itu.
Rezeki selepas melahirkan anak ketiganya, Arman mendapat pekerjaan sebagai pemandu lori di sebuah kilang perabot berhampiran tempat tinggal mereka.
Sepanjang tempoh itu, Arman tidak lagi memukul Haris sekerap sebelumnya. Pekerjaan Arman yang kadang-kala terpaksa ke luar daerah untuk menghantar perabot tidak lagi memberi ruang kepadanya berbuat demikian.
TAK LEKAT DI RUMAH
Arman hanya pulang dua hari dalam tempoh seminggu manakala selebihnya banyak berada di luar daerah.
Dalam tempoh dua hari itu, Arman kebiasaannya tidak lekat di rumah dan masa bersama Salma serta anak-anak cukup terbatas.
Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Kurang enam bulan bekerja, Salma sekali dikejutkan dengan berita Arman ditahan di utara tanah air setelah didapati memiliki dadah pada penghujung 2019.
Hanya Allah yang tahu perasaan Salma ketika itu. Dia tidak menyangka kali ini suaminya melakukan kesalahan lebih besar iaitu memiliki dadah. Arman ditahan di pusat pemulihan seterusnya dilanjutkan penahanan di penjara selama dua tahun .
Bermulalah episod duka dalam hidup Salma yang juga ibu kepada dua anak perempuan Hana (bukan nama sebenar), 7, dan Era (bukan nama sebenar) setahun.
Kehidupan Salma semakin perit selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 bermula 18 Mac 2020 dikuatkuasakan.
Salma mengakui terpaksa menerima tohmahan selepas ada beberapa jiran tetangganya mengadu sering menemui Haris merayau-rayau di kawasan perumahan mereka semasa (PKP) 2.0. Salma mengakui agak sukar mengawal Haris, namun dia yakin mampu melakukannya.
Salma tahu sikap dan perangai Haris sedikit sebanyak dipengaruhi apa yang dilakukan bapanya selama ini.Tindakan bapanya sendiri sebelum ini telah mengubah sikap Haris menjadi nakal dan keras hati. Haris seperti meluahkan kemarahan dan gejolak hatinya melalui tindakan-tindakan nakalnya.
Salma mengakui sayangkan Haris dan dia sedaya upaya berusaha untuk memastikan Haris membesar seperti kanak-kanak lain. Mana mungkin dia tergamak memukulnya seperti yang dicanangkan jiran tetangga.
Ditanya kesudahannya, Salma mengakui menyimpan hasrat untuk berpisah dengan suaminya setelah tamat PKP 3.0. Sayang dan cintanya terhadap lelaki itu sebenarnya telah hilang sejak Arman mengulangi kesilapannya kali kedua.
Berbanding PKP 1.0 dan PKP 2.0, kini kehidupan Salma dan anak-anaknya lebih baik. Tanpa suaminya yang sekarang menjalani hukuman dan dijangka keluar pada awal Januari 2022, Salma dan anak-anak berasa lebih tenang dan selamat.
Salma sudah boleh memulakan perniagaan kuih muihnya seperti biasa dan keluarga ini turut menerima bantuan bulanan daripada pihak berwajib.
Apa yang dilalui oleh Salma sekeluarga mungkin zahirnya banyak yang negatif. Berdepan sikap suami panas baran yang menjadikan anak sendiri sebagai mangsa melampiaskan amarah.
Akhirnya Salma kehilangan suami ekoran dipenjara sehingga memaksanya mengerah kudrat tulang empat keratnya sendiri untuk meneruskan kelangsungan hidup bersama anak-anak. Tiada yang indah.
Akan tetapi, di sebalik apa yang terjadi ada hikmahnya. Ujian dan dugaan menguatkan diri Salma untuk lebih berdikari dan kembali bangkit. Sesungguhnya ujian yang mendatangi hidup bukan noktah sebuah kehidupan. Akan tetapi ia adalah titik mula untuk menggapai sebuah kemanisan hari esok.
“Dan ketahuilah, sesungguhnya kemenangan itu beriringan dengan kesabaran. Jalan keluar beriringan dengan kesukaran. Dan sesudah kesulitan pasti akan datang kemudahan.” (Riwayat Tirmidzi)










