PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KSM) merangka Peraturan Tetap Operasi (SOP) dan mengenal pasti Pusat Kuarantin Pekerja Asing berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang boleh menampung 2,000 pekerja pada satu-satu masa.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, ia selaras dengan keputusan Jemaah Menteri untuk membenarkan kemasukan 32,000 pekerja asing di sektor perladangan secara pengecualian khas.
“Ini adalah sebagai persediaan bagi pengambilan pekerja asing dari negara sumber sekiranya terdapat keperluan mendesak.
“Saya bersetuju dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed pada 12 September berhubung kekurangan tenaga buruh dalam sektor perladangan termasuk kelapa sawit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saravanan berkata, kekurangan buruh dalam sektor perladangan menimbulkan risiko kerugian pendapatan negara berjumlah RM20 bilion setahun terutamanya kepada sektor kelapa sawit.
“Dalam hal ini, KSM sememangnya menggalakkan kekosongan tersebut diisi pekerja tempatan tetapi tidak mendapat sambutan. Justeru, kekosongan tersebut perlu ditampung tenaga buruh asing,” jelasnya.
Mustapa pada 12 September melaporkan, isu kekurangan buruh asing bagi sektor perladangan akan diselesaikan dalam tempoh tiga minggu bagi mengelak industri kelapa sawit berdepan masalah lebih besar.- UTUSAN