MELAKA: Seorang anggota polis wanita patah jari manis selepas dirempuh remaja yang cuba meloloskan diri dalam sekatan jalan raya (SJR) di Lebuh Sungai Udang – Paya Rumput – Ayer Keroh (SPA) di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 10 malam itu, anggota berpangkat lans koperal berusia 27 tahun dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan lanjut.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Hasan Basri Yahya berkata, suspek berusia 19 tahun melarikan diri bagi mengelak dirinya ditahan bersangkut waran tangkap berkaitan dadah.
“Ketika membuat sekatan, seorang remaja yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR atau ‘Y suku’ tiba-tiba memecut laju di SJR sehingga menyebabkan seorang anggota wanita mengalami patah jari manis kiri.
“Suspek kemudian berjaya dicekup,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika kejadian suspek yang bekerja sebagai tukang cuci kereta dalam perjalanan dari arah Durian Tunggal ke Rembia.
Jelasnya, suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 333 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN