PUTRAJAYA : Seramai 6,600 pemandu bas ekspres di seluruh negara bakal menikmati bantuan kewangan secara sekali-beri atau one-off RM500 setiap orang.
Berita itu diumumkan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong yang memberitahu, Kementerian Kewangan bersetuju memperuntukkan bantuan itu selepas kementeriannya membangkitkan perkara itu dalam Kabinet baru-baru ini.
Menurutnya, bantuan itu membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM3.3 juta di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+).
“Syarat kelayakan akan ditetapkan pihak Kementerian Pengangkutan bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan LPKP Sarawak bagi tujuan penyaluran bantuan ini.
“Proses penyaluran bantuan akan dilaksanakan sebaik sahaja peruntukan bantuan diterima oleh MOT dan agensi-agensi pelaksana berkaitan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Ka Siong berkata, syarat-syarat utama bagi menentukan kelayakan penerima bantuan itu ditetapkan kepada pemandu bas ekspres.
Beliau berkata, syarat utama dikenakan termasuk penerima iaitu pemandu bas ekspres adalah warganegara Malaysia, berdaftar secara rasmi sebagai pekerja dengan syarikat bas ekspres dan mempunyai caruman PERKESO yang masih sah.
Selain itu, katanya, mereka perlu mempunyai Lesen Vokasional yang sah dengan mengambil kira tempoh pengecualian pembaharuan Lesen Vokasional yang diberikan MOT sepanjang tahun ini.
“Syarat lain ditetapkan termasuk hanya syarikat atau pengusaha bas ekspres yang mempunyai lesen pengendali dan lesen/permit kenderaan bas ekspres yang sah dengan APAD atau LPKP Negeri Sabah/Sarawak yang layak memohon.
“Kami juga ingatkan bahawa pemandu yang telah menerima bantuan sebagai pemandu bas sekolah, bas pelancongan, teksi atau e-hailing sebelum ini tidak lagi layak menerima bantuan,” katanya.
Katanya, syarikat atau pengusaha bas ekspres turut dikehendaki mengemukakan maklumat pemandu bas ekspres di bawah syarikat masing-masing yang lengkap kepada pihak APAD dan LPKP Negeri Sabah dan LPKP Negeri Sarawak bagi tujuan saringan kelayakan dan penyaluran bantuan.
Dalam pada itu, Ka Siong berkata, MOT juga akan meneliti garis panduan bagi membantu pihak pengusaha bas ekspres dapat menyediakan perkhidmatan kepada tahap yang normal, dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN), pihak berwajib yang lain. – UTUSAN










