PUTRAJAYA: Malaysia kembali mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 iaitu 20,988 kes berbanding semalam, 18,762 kes, namun jumlah kes sembuh lebih tinggi berbanding kes baharu iaitu 23,473 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 249 kematian dicatatkan dengan 1,001 kes di unit rawatan rapi (ICU) selain 470 kes memerlukan bantuan pernafasan dan 262,540 kes aktif.
Katanya, Selangor yang kekal menjadi penyumbang terbesar merekodkan sebanyak 4,073 kes diikuti Sarawak (2,992 kes), Kedah (2,455 kes), Sabah (2,329 kes), Johor (1,993 kes), Pulau Pinang (1,600 kes), Kelantan (1,247 kes).
“Enam negeri mencatatkan kes tiga angka iaitu Perak (990 kes), Terengganu (987 kes), Kuala Lumpur (731 kes), Pahang (599 kes), Melaka (407 kes) dan Negeri Sembilan (301 kes).
“Perlis pula mencatatkan pertambahan mendadak iaitu 90 kes dan Putrajaya, 37 kes manakala Labuan, lima kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – UTUSAN ONLINE