PUTRAJAYA: Malaysia semalam, mencatatkan kematian sebenar akibat Covid-19 iaitu 104 kes daripada 463 kematian yang dilaporkan melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my, setakat jam 9 pagi ini.
Ia sekali gus merekodkan jumlah yang sama kelmarin, 104 kes yang kini berubah kepada 128 kes.
Bagi jumlah kes kematian yang dilaporkan sebelum ini berlaku peningkatan, sebanyak 463 kes semalam berbanding kelmarin, 413 kes.
Sebanyak 108 daripada 463 kematian melibatkan kes yang dibawa ke hospital.
Kes aktif pula mencatatkan penurunan iaitu 225,277 kes berbanding sehari sebelumnya, 228,124 kes.
Bagi kes kematian yang dibahagi mengikut negeri, Selangor mencatatkan kematian dilaporkan 255 kes manakala kematian sebenar, 12 kes diikuti Kedah (54/7), Johor (52/24), Perak (24/10), Pulau Pinang (23/17), Kelantan (19/5), Sabah (16/13), Kuala Lumpur (12/4), Sarawak (7/5), Pahang (6/4), Melaka (4/4), Terengganu (3/3), Negeri Sembilan (2/3) dan Perlis (0/1).
Bagaimanapun, Labuan dan Putrajaya tidak merekodkan sebarang kematian bagi dua kategori kematian.
Utusan Online semalam melaporkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, Malaysia mencatatkan penurunan kes positif Covid-19 iaitu 15,669 kes berbanding semalam, 16,073 kes sekali gus terus diatasi 18,053 kes sembuh.
“Sebanyak 1,266 kes direkodkan yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 689 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Tempat kerja terus menjadi penyumbang terbanyak iaitu 14 daripada 29 kluster Covid-19, hari ini, diikuti 12 kluster komuniti dan tiga kluster kumpulan berisiko tinggi,” katanya. -UTUSAN ONLINE










