ARAU: Kajian mengenai penemuan fosil tengkorak purba dipercayai berusia ribuan tahun di kaki bukit batu kapur, Keteri di sini penting dilaksanakan sekali gus sebagai sejarah baharu kepada negeri ini khususnya dalam aspek peninggalan arkeologi cukup berharga.
Sehubungan itu, Persatuan Mendaki Negeri Perlis, membuka peluang kepada mana-mana pengkaji atau pakar bekerjasama dengan mereka mengkaji dengan lebih mendalam mengenai penemuan tersebut.
Bagaimanapun, setiausaha nya, Mohd. Aizat Zahid berkata, penemuan berharga tersebut dan bersejarah itu perlu menjadi hak milik negeri ini.
Katanya, berdasarkan beberapa penemuan sebelum ini seperti tulang-tulang serta peralatan seperti kapak batu, kawasan berkenaan berpotensi menjadi penempatan atau persinggahan manusia zaman prasejarah sekitar 3,000 hingga 5,000 tahun lalu.
“Malah, penemuan tengkorak tersebut seolah-olah menjadi kunci untuk mengkaji kawasan berkenaan dengan lebih mendalam dan berkemungkinan lebih banyak kewujudan arkeologi lain yang berkaitan dengan sejarah pada zaman tersebut.
“Sekali gus ia akan menjadi kawasan cukup berharga kaya dengan khazanah arkeologi yang bernilai tinggi buat negeri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin fosil tengkorak purba dipercayai berusia ribuan tahun ditemukan di kaki bukit batu kapur, Keteri di sini sekali gus menjadi penemuan penting yang mempunyai nilai arkeologi cukup berharga di Perlis.
Satu bentuk tengkorak yang terlekat di celah-celah batu dengan panjang kira-kira 20 dan lebar 14 sentimeter itu ditemukan oleh Presiden Persatuan Mendaki Negeri Perlis, Zainol Din ketika melakukan aktiviti membuat laluan mendaki cenuram di kawasan berkenaan pada 8 September 2018.
Sebagai rekod, bukit batu kapur Keteri itu berusia antara 250 juta tahun dan berkemungkinan pernah menjadi penempatan persinggahan atau laluan manusia prasejarah sekitar 3,000 hingga 5,000 tahun lalu.
Tambah Mohd. Aizat, kajian tersebut adalah bagi menentukan usia sebenar, daripada golongan manusia purba pada zaman mana dan sebagainya.
“Apa yang istimewa, ini adalah kali pertama penemuan fosil tengkorak dan boleh menjadi kesinambungan untuk menjadi geotapak di negeri ini.
“Penemuan ini mungkin boleh menjadi penemuan Homo Erectus jika hasil kajian membuktikannya namun jika sebaliknya, fosil tengkorak itu masih dikategori pada zaman purba berusia ribuan tahun dan cukup berharga,” katanya.
Sebelum ini, Perak Man, rangka manusia tertua berusia 11,000 tahun yang ditemukan 30 tahun lalu di Lembah Lenggong, Perak kini mempunyai ‘wajah’ lakaran, yang siap pada 19 Januari lalu. – UTUSAN











