JOHOR BAHRU: Langkah kerajaan Pusat mengkaji semula pelaksanaan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) disambut baik kerajaan negeri kerana program berkenaan membawa manfaat kepada ekonomi Johor.
Penasihat Menteri Besar, Datuk Tee Siew Kiong berkata, impak positif pelaksanaan program itu dahulu amat besar khususnya dalam sektor pelancongan dan hartanah di negeri ini.
Menurut beliau, majoriti warganegara asing yang mengikuti program itu membabitkan rakyat China, Korea Selatan, Jepun dan United Kingdom.
“Dengan nilai tukaran matawang asing, mereka mampu untuk membeli kediaman bersesuaian dan menyumbang kepada sektor ekonomi tempatan.
“Saya percaya impak positif pelaksanaan program MM2H turut memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana, lebih-lebih lagi yang terlibat dalam perkhidmatan dan industri makanan serta minuman,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Pada 30 Ogos lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah agar kerajaan mengkaji semula pelaksanaan MM2H bagi mencapai keseimbangan positif terhadap kemasukan pelabur serta pertumbuhan ekonomi negara.
Baginda bertitah, kajian perlu dibuat kerana program MM2H yang kembali dilaksanakan dengan beberapa syarat baharu kepada peserta program dilihat terlalu ketat dan hal itu dibimbanginya akan menjejaskan kemasukan peserta baharu selain menjejaskan pemegang pas MM2H sedia ada.
Siew Kiong yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri memberitahu, kerajaan Pusat perlu mengambil kira kedudukan Johor dalam membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu.
Menurut beliau, hal itu kerana negeri ini telah banyak menyumbang kepada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) negara sebelum terkesan dengan pandemik Covid-19.
“Pengenalan polisi bersesuaian sama ada bagi program MM2H atau program lain yang strategik dan pro-pelabur akan memberi nilai tambah untuk menarik kemasukan pelaburan asing sekali gus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan,” kata beliau.- UTUSAN