PUTRAJAYA: Isu kehilangan pembelajaran (learning lost) merupakan agenda penting yang perlu diberikan keutamaan menjelang pembukaan sekolah secara bersemuka bagi mengecilkan jurang penguasaan dan keciciran pembelajaran dalam kalangan murid yang semakin membimbangkan.
Masalah kehilangan pembelajaran itu menjadi isu global yang perlu diselesaikan dalam tempoh segera supaya jurang penguasaan pembelajaran dapat dikecilkan dan membantu murid yang ketinggalan kesan daripada penutupan sekolah sejak awal tahun ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin berkata, kebimbangan penguasaan murid kepada pembelajaran terutama dalam kalangan murid sekolah rendah perlu dititikberatkan melalui Peta Perencanaan Pemulihan Persekolahan supaya jurang keciciran tidak terus melebar, sekali gus merugikan sektor pendidikan negara.
“Pembukaan sekolah yang dilaksanakan secara berperingkat tidak boleh hanya fokus kepada jadual pembukaan sekolah semata-mata mengikut kumpulan tahun dan tingkatan tertentu demi mengelak penularan jangkitan Covid-19,” katanya di sini semalam.
Menurut Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2021 itu, melalui peta tersebut, terdapat tiga parameter diukur sebagai intervensi untuk mengatasi permasalahan pengisian pembelajaran iaitu parameter pertama ialah intervensi kualiti pembelajaran murid.
“Kita sedar ada masalah pembelajaran dalam kalangan murid lebih-lebih lagi isu penguasaan kemahiran 3M (membaca, menulis dan mengira) yang menunjukkan wujud jurang itu.
“Untuk mengatasi masalah ini perlu dibuat secara jelas dengan melihat satu-satu masalah secara terperinci seperti murid itu di sekolah mana, apa keperluan sebenar murid dan sebagainya supaya penyelesaiannya lebih berkesan,” katanya di sini semalam.
Amin berkata, parameter kedua pula ialah langkah intervensi mengatasi jurang kualiti pembelajaran berdasarkan lokaliti, manakala parameter ketiga ialah menangani kesejahteraan murid dari segi sosial, psikologi, emosi dan kognitif.
Katanya, pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu diberi autonomi untuk menetapkan pengisian di bawah peta itu kerana mereka lebih tahu keperluan sebenar murid melalui pendekatan baharu dan tidak boleh lagi terus berada di takuk lama.
“Kalau perkara ini jelas melalui panduan peta ini yang perlu diselaraskan di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan KPM, barulah boleh ‘menghidupkan’ jadual pembukaan sekolah nanti,” katanya.
Sehingga kini, terdapat 2.7 juta murid peringkat rendah dan 2.03 juta pelajar menengah yang mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sejak penutupan sekolah awal tahun ini.
Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat semalam berkata, beliau dan ahli parlimen pembangkang lain sedia memberikan sokongan sekiranya Perdana Menteri komited memperbaiki sistem pendidikan bagi mengelakkan ‘generasi yang hilang’ (Lost Generation).
“Kita kehilangan hampir satu generasi sekarang. Walaupun dua tahun ada pembelajaran, ada yang dalam talian dan secara bersemuka bertukar-tukar dan kita tidak boleh nafikan prestasi pendidikan di negara kita memang rendah.
“Kalau betul memerlukan transformasi, adakan transformasi dan belanjalah secukupnya untuk betul-betul jamin generasi ini diberikan perhatian jauh lebih dari sebelumnya.
“Perdana Menteri kini berada dalam kedudukan itu jadi tidak perlu takut untuk membawa perubahan ini dan kita akan beri sokongan.,” katanya.
Sebelum ini, tokoh pendidikan, Tun Arshad Ayub mahu semua guru perlu melipatgandakan usaha selain terpaksa berkorban masa dan tenaga bagi membantu pelajar menggarap kembali silibus pelajaran yang tertinggal.
KPM sebelum ini menetapkan sesi persekolahan dibuka semula secara berperingkat mengikut Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 3 Oktober depan dengan kapasiti 50 peratus murid secara penggiliran mingguan bagi pembelajaran bersemuka.
Kelas secara fizikal itu hanya melibatkan negeri di bawah Fasa 3 dan 4.
Sejak pandemik Covid-19 melanda negara tahun lalu, kerajaan telah menutup sekolah dan melaksanakan pembelajaran secara dalam talian. – UTUSAN










