Johor terima 10,000 dos vaksin CanSino minggu depan - Utusan Malaysia

Johor terima 10,000 dos vaksin CanSino minggu depan

HASNI Mohammad menyantuni seorang penerima vaksin, Mahadzeer Abd. Jalal yang merupakan OKU ketika mengadakan lawatan ke Program Outreach Vaksin Covid-19 di Dewan Taman Perbadanan Islam, Kebun Teh, Johor Bahru. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Johor bakal menerima 10,000 bekalan vaksin Covid-19 jenis CanSino minggu depan untuk penduduk di pedalaman termasuk Orang Asli di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, penerimaan vaksin jenis itu dapat merancakkan program vaksinasi di Johor.

Katanya, vaksin berkenaan hanya melibatkan pemberian satu dos suntikan sahaja.

“Vaksin jenis ini dirancang untuk kegunaan masyarakat di kawasan-kawasan pedalaman yang sukar untuk diakses termasuklah di kawasan perkampungan Orang Asli.

“Penerimaan vaksin ini juga akan memudahkan petugas barisan hadapan untuk memberi suntikan kepada individu yang sukar bergerak atau mengunjungi Pusat Pemberian Vaksin dengan sendirinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat pelaksanaan Program Outreach Vaksin Covid-19 di Taman Perbadanan Islam Johor, di sini hari ini.

Turut hadir, Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Noorazam Osman dan Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr. Aman Rabu.

Sementara itu, Hasni turut memaklumkan pelaksanaan program vaksinasi Covid-19 secara ‘walk-in’ di beberapa PPV negeri ini dilihat mampu mengatasi beberapa masalah yang dihadapi berhubung pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebelum ini.

“Jika sebelum ini terdapat masalah seperti belum menerima tarikh suntikan, ketiadaan bekalan, salah hari temujanji, namun dengan adanya pemberian secara walk-in semua perkara itu dapat diatasi.

“Pemberitahuan vaksin secara walk-in ini membolehkan mana-mana pihak untuk mendapatkan suntikan vaksin, yang penting nama-nama mereka akan diperoleh untuk disemak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hasni turut mengulang komitmen kerajaan negeri untuk mempertingkat keupayaan dan kualiti perkhidmatan di hospital awam seluruh negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN