Ikan lumba-lumba tarikan di Perlis - Utusan Malaysia

Ikan lumba-lumba tarikan di Perlis

SYAMIL ABDUL RAHMAN (kiri) melihat ikan lumba-lumba terdampar di pesisir pantai, Kuala Perlis pada 7 September lalu,- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perairan Pulau Batu Layang, Kuala Perlis di sini sesuai dijadikan lokasi pelancongan baharu untuk pengunjung melihat ikan lumba-lumba secara lebih dekat.

Perairan tersebut yang terletak kira-kira dua batu nautika dari pantai itu difahamkan menjadi antara lokasi tumpuan ikan lumba-lumba, khususnya jenis Indo Pacific Humpback.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengasas Perlis Nature and Wildlife (PNW), Sya­mil Abd. Rahman berkata, antara lokasi pelancongan terkenal orang ramai menyaksikan ikan lumba-lumba sebelum ini ialah di Santubong, Sarawak dan Kuala Sepetang, Perak.

Katanya, Kuala Perlis juga dilihat antara kawasan sesuai dijadikan produk pelancongan baharu untuk melihat ikan lumba-lumba.

Jelas beliau, cadangan tersebut sekiranya dapat direali­sasikan bukan sahaja dapat menghargai spesies tersebut, sebaliknya menyumbang pendapatan untuk kerajaan negeri dan penduduk setempat khususnya nelayan.

“Bagaimanapun, untuk me­wujudkan lokasi pelanco­ngan ikan lumba-lumba itu memerlukan bimbingan kerajaan ne­geri berserta syarat-syarat sesuai yang mampu memberi keuntungan kepada semua pihak di samping mengutamakan kelestarian habitat serta spesies itu sendiri.

“Kuala Perlis adalah lokasi yang sangat unik dan menjadi tumpuan spesies-spesies seperti ikan lumba-lumba. Kita tidak perlu pergi jauh atau berada di pulau-pulau cantik untuk menyaksikan ikan lumba-lumba kerana Kuala Perlis sendiri menjadi antara lokasi tumpuan ikan berkenaan,” katanya.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, selain terkenal dengan julukan ‘syurga makanan laut’, Kuala Perlis juga istimewa apabila perairan di sini menjadi antara ‘lubuk’ atau tarikan ikan lumba-lumba khususnya jenis Indo Pacific Humpback.

Difahamkan sekitar 200 hingga 300 ekor ikan lumba-lumba berada di perairan Kuala Perlis ketika musim kemarau antara Disember hingga April kelibat ikan berkenaan kerap boleh dilihat di pesisir pantai di sini.

Antara faktor utama perairan Kuala Perlis sepanjang 10.5 batu nautika dari garis pantai tersebut menjadi tumpuan ikan lumba-lumba kerana kawasan berkenaan kaya dengan sumber makanan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN