Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah 21 kali dinyahwarta - Utusan Malaysia

Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah 21 kali dinyahwarta

Suasana berhampiran Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah di Shah Alam yang gondol bagi dibangunkan perumahan.- MINGGUAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Hutan Simpan Ke­kal Bukit Cerakah (HSKBC) di sini semakin mengecil apabila dalam tempoh 96 tahun sejak 1924 hingga 2020 mengalami pe­nyahwartaan sebanyak 21 kali membabitkan kawasan seluas 12,892.48 hektar.

Mengikut Warta Kerajaan Selangor, penyahwartaan terluas di­rekodkan pada 1990 melibatkan tanah seluas 4.5 hektar me­rangkumi kawasan Felda Bukit Cerakah dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam.

Warta kerajaan negeri tersebut turut merekodkan hutan ber­kenaan memberi keistimewaan buat penduduk Orang Asli untuk tinggal dalam lingkungan lima kilometer dari kawasan HSKBC.

HSKBC digazet sebagai hutan simpan sejak 3 Mac 1909 oleh Kerajaan British dan dalam masa sama kawasan berkenaan mencapai keluasan dari Bukit Raja, Klang hingga ke Sungai Buloh dan Kuala Selangor. Namun tidak dinyatakan jumlah ke­luasan ke­seluruhan asal ketika itu.

Susulan pengecilan HSKBC, ak­tivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Hutan Ko­muniti Shah Alam (SACF), Dr. Lim Teck Wyn tampil melahirkan kebimbangan apabila me­li­hat aktiviti menggondolkan hutan di sekitar HSKBC masih berterusan bermula tahun lalu.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, aktivis itu berkata, pem­bersihan membabitkan ka­­wa­san seluas 202.34 hektar di­dakwa bukan sahaja mencacat­kan pemandangan, bahkan dik­hua­tiri mengganggu ekosistem hidupan liar dan penduduk sekitar kawasan tersebut.

Kata beliau, selepas kawasan seluas 202.34 hektar habis di­teroka ia akan dibina perumahan maka baki hutan HSKBS cuma 2,623.17 hektar.

Selain itu, menurut Teck Wyn, aktiviti itu turut menyebabkan kawasan takungan air Empangan Subang keruh dan pihaknya kecewa kerajaan negeri ‘menghalalkan’ pene­rokaan hutan dengan menye­rahkan geran tanah tersebut yang sebelum ini berstatus hutan simpan.

“Kalau ikut undang-undang, kerajaan negeri tiada memberi geran tanah ke atas mana-mana hutan simpan. Itu memang jelas, mana boleh dapat geran di hutan simpan. Itu memang me­langgar undang-undang Kanun Tanah Negara 1956.

“Tetapi, kita boleh nampak dengan mata kasar memang sedang berlaku pembukaan kawasan hutan untuk pembangunan dan paling penting mereka sudah dapat geran tanah. Syarikat sudah dapat geran tetapi tanah masih lagi dalam gazet hutan simpan,” dakwa beliau kepada Mingguan Malaysia.

Teck Wyin berkata, SACF yakin kawasan sedang dibersih­kan itu masih berstatus hutan simpan kerana belum ada pendengaran awam dilakukan kerajaan negeri sehingga kini.
“Jadi, kawasan yang diwarta ini macam masih grey area. Memang belum diwartakan keluar, tetapi sudah ada kelulusan Exco,” jelasnya.

Tinjauan mendapati akti­viti pembersihan hutan sedang ‘rancak’ dan dapat dilihat dari Persiaran Mokhtar Dahari berdekatan Puncak Perdana.

Sementara itu, Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian ketika dihubungi menafikan kawasan tersebut hutan simpan kerana ia sudah dinyahwarta tahun 2000.

“Kawasan itu bukan hutan simpan. Sudah (dinyahwarta) tahun 2000. Semua tanah (ada) hak milik. Dokumen (nyahwarta) memang ada. Kalau berkaitan isu tanah, NGO kena rujuk Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling atau Pejabat Ta­nah dan Galian Selangor (PTGS),” kata beliau.

Dalam pada itu, Projek Eksekutif syarikat YCH Develop- ment Sdn. Bhd. (YCH), Chang Kim Fah pula mengesahkan tanah berkenaan ada geran hak milik dan bukan diterokai.

“Restu Mantap Sdn. Bhd. (Restu Mantap) adalah pemilik tanah, sementara YCH syarikat pemaju. Kita buat kerja selepas dapat geran dan mohon kelulusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Sementara itu, bahagian Hutan Daerah Selangor Tengah, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor ketika dihubungi meminta NGO berkaitan tampil membuat laporan rasmi untuk mengesahkan kawasan itu adalah hutan simpan ataupun bukan.- MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN