Hari Malaysia meriah di rumah Wak Amin - Utusan Malaysia

Hari Malaysia meriah di rumah Wak Amin

SHAMSI Samuri (tiga dari kiri) bersama isteri, Tujimah Sidek dan pengunjung yang berada dirumahnya di Jalan Haji Khalid, Kampung Tenggayun Barat, di Pontian, Johor. -UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Kediaman Shamsi Samuri atau popular dipanggil Wak Amin dan isteri, Tujimaj Sidek terus meriah dikunjungi orang ramai yang mahu merasai secara dekat sambutan Hari Malaysia semalam.

Lebih menarik Wak Amin, 56, turut memasang kain rentang khas yang tertera perkataan Sambutan Hari Malaysia yang dibeli RM200 bagi orang ramai bergambar kenangan.

Wak Amin dan 15 ahli keluarga termasuk cucu dan jiran turut memakai pakaian sama sempena sambutan tersebut dengan kos semuanya mencecah RM680.

Ketika ditemui di rumahnya di Jalan Haji Khalid, Kampung Tenggayun Barat, Wak Amin berkata, selepas tersiar berita tentang rumahnya dipenuhi Jalur Gemilang oleh Utusan Malaysia tempoh hari, laman rumahnya tidak pernah sunyi dengan kunjungan orang ramai.

Kata Wak Amin, rumahnya bertambah popular apabila sebuah syarikat televisyen swasta turut menyiarkan semangatnya yang terus menghayati makna kemerdekaan dan hari Malaysia.

“Kerana Malaysia masih berada di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) saya mengambil langkah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dengan mengimbas MySejahtera, pengambilan suhu badan dan penjarakan sosial.

“Bermula sebelum 31 Ogos sehingga sekarang dianggarkan kira-kira 500 orang pengunjung datang ke rumah kami untuk mengambil gambar di kawasan sekitar rumah,” katanya.

Pada 17 Ogos lalu, Utusan Malaysia menyiarkan kisah suami isteri yang gigih memasang ratusan bendera Jalur Gemilang di rumah mereka pada setiap tahun bermula tahun 2009 sempena Hari Kebangsaan.

Selain itu, pemasangan bendera tersebut merupakan ‘wasiat’ atau pesanan bapa kepada Tujimah, Allahyarham Sidek Mangon yang mahu anaknya itu meneruskan tradisi itu setiap kal tibanya sambutan bulan kemerdekaan.

Tambah Wak Amin, ada kalangan pengunjung terutama pelajar-pelajar sekolah datang dari Tampok, Rengit, Permatang Duku selain pelajar-pelajar dari kawasan Tanjung Piai, Pekan Nanas untuk melihat secara lebih dekat.

“Ada juga pelajar dari Johor Bahru, Kulai yang mahu datang tetapi disebabkan larangan merentas daerah, hasrat mereka terpaksa ditangguhkan,” ujarnya yang merupakan seorang tukang urut.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN