Halimah besarkan enam anak hasil jual ‘budu kampung’ - Utusan Malaysia

Halimah besarkan enam anak hasil jual ‘budu kampung’

HALIMAH Mat Nawi menunjukkan budu kampung yang dihasilkan di rumahnya di Kampung Geting, Tumpat. - UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Tanpa sebarang jenama atau cap dagang, ‘budu kampung’ yang biasanya dihasilkan menggunakan kaedah tradisional masih mempunyai tempat di hati penggemar tegar makanan tradisi tersebut.

Antara yang popular, budu asli tanpa pewarna atau bahan perasa tambahan buatan Halimah Mat Nawi, 67, yang laris dijual tidak kira musim, termasuk sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, warga emas dari Kampung Geting di sini itu berkata, dia bersyukur dapat membesarkan enam anaknya dengan hasil jualan budu kampung yang dibuat sendiri di rumah sejak 15 tahun lalu.

“Di peringkat awal saya hanya membuat budu secara suka-suka dengan menggunakan tempayan mengikut resepi turun temurun keluarga.

“Namun selepas mendapat banyak permintaan orang ramai, saya besarkan lagi operasi termasuk mendapatkan khidmat pembantu sehinggalah sekarang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Menurutnya, proses membuat budu kampung mengambil masa selama dua bulan menggunakan gabungan ikan bilis besar dan kecil yang digaul bersama garam kasar mengikut sukatan tertentu.

“Selepas seminggu diperap dalam tong plastik, campuran ikan tersebut akan dikacau supaya bersebati, kemudian dibiarkan lagi sehinggalah ia bertukar menjadi cairan gelap. Lagi lama diperap, lagi sedap,” katanya.

Budu kampung buatan Halimah dijual antara RM2 hingga RM13 sedozen bergantung kepada saiz botol, dengan botol paling kecil 600 ml dan setiap bulan, dia mampu menjual hingga 100 dozen budu kepada pelanggan yang datang dari seluruh negeri ini.

“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jualan budu tetap berjalan macam biasa. Cuma harganya terpaksa dinaikkan sebanyak RM1 bagi setiap dozen kerana kos bahan mentah sudah meningkat.

“Ada pelanggan datang beli budu saya untuk diproses semula mengikut cara sendiri di rumah mereka. Biasanya, pelanggan ini terdiri daripada golongan warga emas yang memang suka makan budu,” kata Halimah.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya